Penduduk desak wujud tribunal bebas sebelum RUU PSB diteruskan

Penduduk desak wujud tribunal bebas sebelum RUU PSB diteruskan

Mereka dakwa RUU tidak peruntuk tribunal bebas dengar rayuan pemilik minoriti secara pantas dan adil, pada kos berpatutan.

Kuchai Entrepreneurs Park
Penduduk flat KEP berkata, pengundian RUU PSB wajar ditangguhkan sehingga sebuah tribunal bebas diwujudkan dan peruntukan perlindungan bagi kumpulan rentan diperincikan.
PETALING JAYA:
Penduduk flat kos rendah Kuchai Entrepreneurs Park (KEP) di Kuala Lumpur menggesa kerajaan agar menangguhkan Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang baru dibentangkan, sehinggalah ia merangkumkan peruntukan bagi sebuah tribunal bebas.

Tanpa perlindungan sedemikian, kata mereka, bantahan pemilik hartanah strata minoriti berisiko dipinggirkan di bawah undang-undang yang dicadangkan itu.

RUU diterajui oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu bertujuan menurunkan had persetujuan pemilik hartanah strata kepada 80% untuk bangunan berusia kurang 30 tahun, 75% untuk bangunan berusia lebih 30 tahun dan 51% untuk hartanah terbiar.

Dalam kenyataan hari ini, penduduk berkata, RUU itu cacat kerana tiada tribunal bebas untuk mendengar rayuan daripada pemilik hartanah strata minoriti dengan cepat dan adil, pada kos yang berpatutan.

Mereka berkata, buat masa ini, pemilik yang terjejas hanya boleh merujuk kepada Mahkamah Tinggi, Pesuruhjaya Bangunan atau Tribunal Pengurusan Strata.

Bagaimanapun, menurut mereka, saluran-saluran ini tidak memadai disebabkan kos yang tinggi, prosedur yang rumit atau bidang kuasa yang terhad.

“Negara lain sudah lama mengguna pakai badan kuasi-kehakiman seperti ‘Strata Titles Board’ di Singapura dan ‘Lands Tribunal’ di Hong Kong untuk mengadili pertikaian dan permohonan penjualan paksa dalam pembangunan semula.

“Kewujudan badan-badan ini membuktikan bahawa tribunal khusus adalah satu amalan baik yang realistik dan terbukti berkesan, bukannya sebuah cadangan teori semata-mata,” kata mereka.

Sehubungan itu, mereka menggesa agar pengundian RUU ini ditangguhkan sehingga tribunal bebas diwujudkan dan peruntukan perlindungan bagi kumpulan rentan diperincikan.

“Tanpa tribunal bebas, suara minoriti – yang sering kali terdiri daripada warga emas, OKU, dan isi rumah B40 – akan mudah ditenggelamkan oleh kuasa majoriti dan tekanan pasaran.

“Jika (RUU PSB) mahu menjadi sebuah undang-undang yang adil, ia mesti meletakkan hak minoriti di tengah-tengah, bukan di pinggiran,” kata mereka.

Penduduk turut menggesa kerajaan agar menetapkan standard pampasan yang adil dan jaminan hak untuk kembali yang ‘benar-benar setara’ dengan kehilangan jaringan sosial, akses bandar dan nilai komuniti.

Mereka turut menyuarakan kebimbangan berhubung laporan mengenai gangguan pada lewat malam, pemberian habuan dan cubaan memintas badan pengurusan bersama (JMB) bagi mendapatkan persetujuan pembangunan semula.

Mereka menegaskan, penduduk mesti diberi pendedahan penuh mengenai pakej pampasan, spesifikasi bangunan, serta tempoh masa yang munasabah untuk membuat keputusan, tanpa sebarang paksaan.

Mereka juga menyeru agar perumahan kos rendah, flat Program Perumahan Rakyat (PPR), rumah mampu milik, dan perumahan warisan dikecualikan daripada sebarang mekanisme pelupusan paksa bawah akta PSB.

RUU itu dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama pada Khamis lepas, dan dijadualkan untuk bacaan kedua dan ketiga pada Rabu depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.