Pemuda DAP Selangor desak parti putus hubungan politik dengan Akmal

Pemuda DAP Selangor desak parti putus hubungan politik dengan Akmal

Pemuda DAP Selangor dakwa Dr Akmal Saleh tidak insaf walaupun telah didakwa di mahkamah dengan mengeluarkan kenyataan mengelirukan.

Dr Akmal Saleh didakwa di Mahkamah Bukit Mertajam semalam atas catatan Facebook berkaitan isu Jalur Gemilang. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pemuda DAP Selangor menggesa parti itu untuk memutuskan hubungan politik dengan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh yang didakwa terus mengeluarkan kenyataan mengelirukan dan mencetuskan ketegangan.

Dalam kenyataan media, sayap itu membidas tindakan Akmal berkenaan walaupun telah didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam semalam di atas catatan Facebook berkaitan isu Jalur Gemilang.

Akmal yang juga exco Melaka selepas dihadapkan di mahkamah dipetik berkata negara ini milik semua rakyat Malaysia dan mendakwa pertuduhan ke atasnya untuk menutup mulutnya.

Pemuda DAP Selangor berkata Akmal dilihat masih tidak insaf dan mendakwanya berperanan sebagai ejen Perikatan Nasional (PN) dalam kerajaan perpaduan.

Mereka mendakwa Akmal cuba menggambarkan dirinya seolah mangsa perjuangan kaum, namun pendakwaan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan menunjukkan tindakannya lebih serius dan melangkaui batasan undang-undang.

“DAPSY Selangor menggesa agar DAP dan DAPSY kebangsaan segera memutuskan hubungan politik dengan Akmal yang berfungsi sebagai ejen PN dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Akmal didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menyiarkan video di akaun Facebooknya pada 11 Ogos lalu yang boleh menimbulkan kegentaran dan kegusaran awam.

Adun Merlimau dalam video itu dikatakan memberi tempoh dua hari kepada Jabatan Peguam Negara untuk mendakwa seorang lelaki didakwa mengibar Jalur Gemilang terbalik.

Jika tiada tindakan diambil, Akmal berkata, beliau akan “mengajar apek itu” cara memasang bendera dengan betul.

Akmal mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.