
Hanya mahu dikenali sebagai Yong, wanita itu mendakwa pameran itu bertempat di laluan pejalan kaki ke monumen berkenaan sejak tiga bulan lalu bagi mendidik orang ramai mengenai Falun Gong, sebuah gerakan spiritual diharamkan di China.
“Saya mengejar mereka dan minta barang dipulangkan. Seorang daripadanya berkata, ‘Kami polis dari China’. Mereka tidak hirau dan terus beredar,” katanya kepada FMT.
Menurutnya, kumpulan itu menaiki van pelancong ditemani seorang pemandu tempatan. Rakaman video yang dikongsikannya menunjukkan beberapa lelaki membawa pameran itu ke dalam van.
Yong berkata dia berasa terancam dengan penglibatan pihak asing dalam insiden itu dan menganggap ia mencabul hak kebebasan bersuara serta berekspresi.
Beliau membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi.
Pada Mei lalu, Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Isa ketika itu berkata penahanan lebih 70 pengikut Falun Gong menjelang lawatan Presiden China Xi Jinping ke Malaysia adalah sah kerana disahkan pertubuhan haram.
“Sehubungan itu, ia tidak dibenarkan menjalankan sebarang aktiviti,” katanya dipetik berkata.
Falun Gong, atau Falun Dafa, menggabungkan meditasi dengan senaman qigong.
Ia diharamkan di China sejak 1999 tetapi aktif di lebih 100 negara dengan teks utama, Zhuan Falun, diterjemahkan ke lebih 50 bahasa.