Menteri nafi meterai MoU terima 10,000 pelajar Bangladesh kerja di Malaysia

Menteri nafi meterai MoU terima 10,000 pelajar Bangladesh kerja di Malaysia

Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Kadir berkata dakwaan oleh Exco Kedah Haim Hilman itu tidak berasas dan sangat tidak bertanggungjawab.

Zambry Abdul Kadir
Zambry Kadir menegaskan tidak ada perjanjian dimeterai yang mengikat Malaysia untuk menerima pelajar Bangladesh itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Kadir menafikan dakwaan bahawa kementeriannya menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Bangladesh untuk menerima 10,000 pelajar negara itu bekerja di sini.

Beliau menegaskan, dakwaan oleh Exco Kedah Haim Hilman yang juga bekas naib canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) pada sidang DUN Kedah itu adalah tidak berasas dan sangat tidak bertanggungjawab.

“Hanya berdasarkan laporan media di Bangladesh, beliau telah membuat tuduhan bahawa saya telah bersetuju untuk mempertimbangkan ‘Graduate Pass’ kepada 10,000 pelajar Bangladesh di Malaysia untuk membolehkan mereka bekerja di sini.

“Tuduhan tersebut adalah tidak benar dan tidak tepat sama sekali. Tidak ada sebarang MoU atau perjanjian ditandatangani yang mengikat Malaysia untuk menerima pelajar Bangladesh itu,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, dalam video tular, Haim memetik sebuah laporan media Bangladesh yang mendakwa Malaysia bersetuju mempertimbangkan ‘Graduate Pass’ kepada 10,000 pelajar Bangladesh di Malaysia bagi membolehkan mereka bekerja di sini.

Mengulas lanjut, Zambry berkata sebagai seorang berlatarkan akademik, pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah itu seharusnya membuat kenyataan berdasarkan fakta yang tepat.

“Prinsip akademik menuntut kepada informasi yang berintegriti, bertepatan dan kebenaran.

“Saya menasihatkan beliau agar lebih berhati-hati dalam membuat sebarang kenyataan berhubung apa-apa isu termasuk yang berkaitan dengan pendidikan tinggi.

“Saya juga ingin menegaskan beliau tidak sewenang-wenangnya mencipta persepsi dengan menyampaikan maklumat yang tidak tepat serta mengelirukan rakyat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.