Selepas 5 pegawai ATM ditahan, pakar saran rombakan unit risikan

Selepas 5 pegawai ATM ditahan, pakar saran rombakan unit risikan

Dua pakar pertahanan menggesa agensi perisikan lebih bertanggungjawab, termasuk pegawai keselamatan tertinggi dan Parlimen.

sprm
Lima pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia yang dipercayai terbabit sindiket penyeludupan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia minggu lalu.
PETALING JAYA:
Dua pakar pertahanan menggesa rombakan menyeluruh sistem perisikan negara susulan penahanan lima pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dikaitkan dengan sindiket penyeludupan berskala besar.

Penganalisis pertahanan berkata, kes itu menimbulkan kebimbangan serius terhadap integriti dan reputasi ATM kerana unit berkenaan mempunyai akses kepada maklumat sensitif.

Lam Choong Wah.

Lam Choong Wah dari Universiti Malaya dan Salawati Mat Basir dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, kes itu menekankan keperluan untuk menjadikan unit risikan lebih bertanggungjawab dan telus dalam operasi mereka.

Lam menyarankan Putrajaya meneliti model UK dan Australia untuk memperkenalkan pembaharuan perundangan bagi menyusun semula bahagian risikan pertahanan negara, Cawangan Khas polis dan cabang penyelidikan Jabatan Perdana Menteri.

“Kita perlu lebih banyak akauntabiliti daripada agensi dan unit perisikan. Untuk sekian lama, mereka tidak bertanggungjawab kepada Parlimen dan rakyat.

“Sebab itu mereka berani melanggar undang-undang dan terbabit rasuah,” katanya kepada FMT.

Salawati yang senada berkata, unit utama dan proses perolehan sektor pertahanan beroperasi di bawah kerahsiaan selama bertahun-tahun, walaupun terdapat pelbagai dakwaan rasuah atau salah urus.

“Tiada cara lain kecuali ketelusan. Walaupun mereka unit perisikan, mereka perlu diawasi pegawai keselamatan lebih tinggi. Jika diberikan kebebasan mutlak, ini yang akan berlaku.”

Kementerian Pertahanan terpalit pelbagai skandal selama beberapa dekad, termasuk perjanjian kontroversi kapal selam Scorpene 2002 dan projek kapal tempur pesisir lebih RM9 bilion yang belum selesai.

Minggu lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, lima pegawai ATM dipercayai mendalangi sindiket penyeludupan dan memainkan peranan dalam aktiviti pengedaran dadah.

Katanya, pegawai disyaki itu – yang ditempatkan di sempadan selatan negara – dipercayai membocorkan maklumat operasi agensi keselamatan dan penguatkuasaan sejak lima tahun lalu.

Agensi antirasuah itu berkata, suspek termasuk leftenan kolonel memudahkan penyeludupan barang larangan seperti dadah dan rokok – bernilai kira-kira RM5 juta sebulan – dari negara jiran.

Bahan ketawa serantau

Salawati berkata, “kes memalukan” ini berisiko menjadikan pasukan pertahanan negara “bahan ketawa” di rantau ini dan boleh menyebabkan rakan sejawatan asing hilang keyakinan terhadap profesionalisme serta kredibiliti ATM.

Beliau tidak menolak kemungkinan sindiket itu boleh terbabit penyeludupan senjata kerana berjaya membawa masuk barang seludup lain ke negara ini.

Salawati Mat Basir.

“Ini bukan sekadar dadah, arak atau barang lain yang diseludup ke Malaysia. Ini mengenai kedaulatan negara kita yang ‘dijual’ sindiket ini.

“Penjenayah akan fikir mereka sentiasa boleh membuat perjanjian dengan pegawai sedemikian, asalkan mereka boleh membayarnya. Ini reputasi yang saya bimbang akan dimiliki Malaysia.”

Lam berkata, kes itu pasti menimbulkan keraguan terhadap integriti ATM dan boleh mendorong agensi perisikan asing mempertimbangkan semula kesediaannya berkongsi maklumat sensitif dengan rakan sejawatan di Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.