Polis rampas syabu RM7 juta dalam nahas kereta

Polis rampas syabu RM7 juta dalam nahas kereta

Polis sedang sedang mengesan individu dikenali Mohd Rahmat Hanafi yang beralamat di Rantau Panjang selepas kad pengenalannya ditemui dalam kereta itu.

Polis rampas syabu RM7 juta dalam nahas kereta bernama pic 22825
Polis menemui 11 guni berisi 208 bungkusan plastik mengandungi syabu dengan anggaran berat 220,160g dalam kereta terbabit kemalangan di Subang Jaya pada 13 Ogos lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis merampas dadah disyaki syabu lebih 220kg bernilai RM7 juta dalam kenderaan terbabit kemalangan di SS17, Subang Jaya pada 13 Ogos lalu.

Ketua Polis Subang Jaya, Wan Azlan Wan Mamat, berkata pihaknya menerima maklumat orang awam mengenai kemalangan membabitkan Honda Civic pada 11.30 pagi.

“Anggota polis yang tiba mendapati tiada pemandu di dalam atau luar kereta di lokasi sebelum pemeriksaan menemui 11 guni berisi 208 bungkusan plastik mengandungi bahan disyaki syabu dengan anggaran berat 220,160g,” katanya pada sidang media di IPD Subang Jaya di sini.

Beliau berkata, pihaknya sedang mengesan individu dikenali Mohd Rahmat Hanafi, 32, yang beralamat di Rantau Panjang, Kelantan selepas kad pengenalan lelaki itu ditemui dalam kenderaan terbabit, bagi membantu siasatan.

Menurutnya, semakan mendapati lelaki itu mempunyai 15 rekod jenayah dan dadah, manakala kenderaan terbabit menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Katanya, semakan awal mendapati suspek masih berada dalam negara dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Orang ramai mempunyai maklumat atau rakaman kamera papan pemuka diminta menghubungi pengawai penyiasat Mohamad Saifullah Rosdi di talian 017-9065674 atau balai polis berhampiran.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.