myBurgerLab pecat COO kerana kritik denda tak solat Jumaat

myBurgerLab pecat COO kerana kritik denda tak solat Jumaat

Rangkaian burger tempatan berkata kenyataan bekas ketua pegawai operasinya tidak mencerminkan nilai teras syarikat itu.

myburgerlab
myBurgerLab memecat Ketua Pegawai Operasi Andrew Chong selepas beliau memohon maaf berhubung kenyataan yang kini sudah dipadamkan di media sosial. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Rangkaian burger tempatan, myBurgerLab memecat Ketua Pegawai Operasi (COO), Andrew Chong susulan komennya di media sosial berkait hukuman denda terhadap lelaki Islam di Terengganu yang sengaja meninggalkan solat Jumaat.

Pihak pengurusan restoran itu berkata mereka amat terkilan dengan kenyataan Chong di akaun peribadi media sosialnya, sambil menambah ia menimbulkan kemarahan, kekecewaan dan melukai hati orang Islam.

Syarikat itu menegaskan ia tidak berkongsi pandangan Chong kerana kenyataan tersebut tidak mencerminkan nilai teras mereka iaitu saling menghormati, perpaduan dan keterangkuman.

“Sebagai respons, kami menamatkan perkhidmatan Chong dan semua kaitannya berkuat kuasa hari ini,” katanya dalam kenyataan.

myBurgerLab turut memohon maaf atas kenyataan Chong, sambil menegaskan pihaknya menolak sebarang bentuk diskriminasi atau perbuatan tidak menghormati agama.

Pihak pengurusan juga berkata mereka akan menyemak semula dasar dalaman dan mewajibkan semua pekerja menjalani latihan sensitiviti budaya bersama pakar, termasuk pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Kepercayaan dibina melalui tindakan. Kami berikrar untuk lebih berwaspada bagi memastikan myBurgerLab kekal sebagai simbol keharmonian Malaysia di mana setiap orang merasa dihormati.

“Kami amat kesal dan dengan rendah hati memohon maaf, sambil berusaha membina semula kepercayaan anda. Terima kasih atas sokongan anda,” kata syarikat itu.

Chong dipecat beberapa jam selepas memohon maaf atas kenyataannya yang mencetuskan kecaman di media sosial dan turut membawa kepada gesaan untuk memboikot rangkaian burger itu.

Lelaki itu berkata beliau sudah memadam hantaran asalnya bagi mengelak daripada menimbulkan lebih banyak kemarahan atau kesedihan, sambil menegaskan beliau tidak melarikan diri daripada kesilapannya.

Awal minggu ini, dilaporkan bahawa lelaki Islam di Terengganu yang meninggalkan solat Jumaat tanpa alasan munasabah boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 dan penjara sehingga dua tahun.

Perkara itu susulan pindaan terhadap enakmen syariah negeri pantai timur itu beberapa tahun lalu.

Berikutan laporan itu, Chong dalam satu hantaran di X berkata Malaysia perlahan-lahan diambil alih oleh ekstremisme dan bakal menjadi seperti Iran.

Mengulas mengenai pemecatannya, Chong berkata beliau menerima dan menghormati keputusan syarikat, sambil mengulangi bahawa kenyataannya adalah pandangan peribadi dan tidak ada kaitan dengan myBurgerLab.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.