Kementerian undang-undang mudah perantaraan AGC, kehakiman, dan kerajaan, kata bekas menteri

Kementerian undang-undang mudah perantaraan AGC, kehakiman, dan kerajaan, kata bekas menteri

Syed Hamid Albar yang memegang portfolio itu dari 1990 hingga 1995 kata kementerian memiliki lebih banyak sumber untuk menjalankan tanggungjawab.

Syed Hamid Albar
Bekas menteri undang-undang Syed Hamid Albar positif dengan langkah menubuhkan semula Kementerian Undang-undang.
PETALING JAYA:
Penubuhan semula Kementerian Undang-undang akan memudahkan perantaraan antara Jabatan Peguam Negara (AGC), badan kehakiman dan kerajaan, kata bekas menterinya, Syed Hamid Albar.

Syed Hamid yang memegang portfolio itu dari 1990 hingga 1995 berkata, kementerian memiliki lebih banyak sumber untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab.

Menjelaskan hujahnya, beliau menarik perhatian kepada usaha kementerian tersebut dalam pentadbiran Dr Mahathir Mohamad dahulu, antaranya kertas kerja mempercepatkan kes-kes tertangguh, dan kajian berkenaan penambahan jawatan hakim.

“Bila ada kementerian sendiri, dia ada kakitangan tetap, ada ketua setiausaha, ada jabatan-jabatan yang macam-macam” katanya kepada FMT.

“Kementerian memberikan lebih ‘profile’, lebih ‘substance’ kepada tugas dan tanggungjawab, dan memudahkan untuk memainkan peranan.”

Syed Hamid tidak menghuraikan peranan seorang menteri undang-undang, mengatakan ia tertakluk pada bidang tugas yang akan diwartakan, sekiranya rancangan ini dilaksanakan.

Namun beliau percaya ia akan memudahkan wakil rakyat mendapatkan penjelasan berhubung sesuatu perkara berkaitan peguam negara.

“Kalau ada apa-apa persoalan di Parlimen, dia jawab bagi pihak peguam negara. Peguam negara bukan ahli Jemaah Menteri, bukan?”

Kementerian Undang-undang dibubarkan pada 1995, dan digantikan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) bawah Jabatan Perdana Menteri, kini diketuai Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Azalina Othman Said.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata sistem perundangan negara akan mempunyai struktur lebih baik dengan menghidupkan semula kementerian itu.

Katanya, ia akan memastikan kesepaduan lebih baik dalam ekosistem perundangan negara.

Tahun lalu, Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme berkata, Malaysia memerlukan Kementerian Undang-undang khusus untuk mengendalikan agenda pembaharuan undang-undangnya secara berkesan.

Badan pemantau antirasuah itu berkata, walaupun BHEUU bertanggungjawab untuk pelbagai fungsi, bajet dan kapasiti terhadnya menghalang keberkesanannya.

BHEUU bertanggungjawab secara pentadbiran ke atas pelbagai agensi seperti Jabatan Insolvensi, Jabatan Bantuan Guaman, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan dan Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.