
Langkah ini akan menamatkan pembabitannya dalam penyelewengan kewangan antara yang terbesar dalam sejarah.
Menurut kenyataan, di bawah penyelesaian berkenaan, pihak bank – ‘tanpa mengakui liabiliti’ – akan menyumbangkan jumlah itu dalam Akaun Amanah Pemulihan Aset Malaysia.
Ini selepas peguam negara Switzerland mengumumkan denda CHF3 juta (USD3.7 juta) ke atas unit JPMorgan di Switzerland, atas peranannya dalam membolehkan pengubahan wang haram yang digelapkan daripada 1MDB.
Pejabat peguam negara itu mendenda bank berkenaan “kerana gagal mengambil semua langkah organisasi yang munasabah dan perlu bagi mencegah perbuatan pengubahan wang haram yang serius.”
“Denda tersebut berkaitan dengan pembayaran termasuk 34 pindahan dana ke luar negara berjumlah kira-kira CHF174 juta yang berlaku antara Oktober 2014 hingga Julai 2015,” menurut pihak berkuasa Switzerland.
1MDB berada di tengah-tengah skandal yang mencetuskan siasatan rentas benua, dengan dana diseleweng dianggar melebihi USD4 bilion.
Siasatan membawa kepada pemenjaraan bekas eksekutif Goldman Sachs Group Inc, serta bekas perdana menteri Malaysia.
Ahli perniagaan dari Malaysia, Jho Low, masih diburu.
“Kami menghargai kerjasama dengan kerajaan Malaysia dalam menyelesaikan isu lampau berkaitan 1MDB, yang telah diteliti secara menyeluruh,” kata JPMorgan dalam kenyataan.
“Sejak itu, kami memperkukuhkan kawalan dalaman,” tambahnya.