
Tawfik berkata Muda berisiko mengorbankan idealismenya jika bersama pakatan longgar yang diumumkan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, awal minggu ini — pakatan yang ditolak Parti Sosialis Malaysia (PSM) kerana bimbang retorik berasaskan kaum yang menjadi sandaran beberapa parti komponennya.

“Jika Muda mahu melihat ke hadapan, mereka perlu menarik diri. Seperti yang ditegaskan PSM, gabungan itu nampak berasaskan kaum, dengan setiap parti mengejar agenda masing-masing.
“Satu-satunya tujuan bersama hanyalah mahu menjatuhkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim — yang menjadikannya lebih bersifat peribadi berbanding berprinsip,” katanya kepada FMT.
Katanya, parti berasaskan kaum memang perlu semasa zaman kemerdekaan, ketika musuh bersama ketika ialah British. Pada masa itu, parti ini menunjukkan semua kaum menentang penjajahan, sekali gus menghalalkan penubuhan parti mengikut garis kaum.
“Bagaimanapun, selepas lebih 60 tahun merdeka, kita seharusnya menumpukan kepada pembinaan negara dan integrasi.
“Parti tanpa asas perkauman patut menjadi peneraju dalam sebuah negara majmuk. Saya fikir Muda harus kekal dengan visi muda dan idealistik mereka, serta menjauhkan diri daripada parti oportunis berasaskan kaum,” katanya.
Tawfik, ahli kumpulan G25 yang terdiri daripada bekas penjawat awam kanan, berkata parti pembangkang mesti bangkit melangkaui politik identiti untuk kekal berwibawa.
Katanya, pembangkang sepatutnya memberi tumpuan kepada isu, bukannya individu yang mengetuai kerajaan.
Isnin lalu, 11 parti pembangkang dilaporkan bersetuju membentuk satu gabungan longgar bagi memastikan kerajaan dipertanggungjawabkan serta menekan Anwar berhubung janji reformasi yang belum ditunaikan.
Muhyiddin berkata gabungan itu akan dianggotai Bersatu, PAS, Gerakan, Pejuang, Muda, Parti Masyarakat India Malaysia (MIPP), Putra, Berjasa, Urimai, Parti Kemajuan India Malaysia (MAP) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).
Muda akan terus bersuara
Ketua Penerangan Muda Pulau Pinang, Danial Abdul Majeed, menjelaskan bahawa gabungan pembangkang yang diumumkan baru-baru ini bukanlah pakatan rasmi, sebaliknya sebuah platform kerjasama yang bertujuan berkhidmat kepada rakyat.

Beliau menegaskan bahawa parti itu akan tetap berpegang teguh dalam menyuarakan pendiriannya.
“Selagi nilai yang dikongsi benar-benar ditujukan untuk memperbaiki kehidupan rakyat — khususnya dalam aspek ekonomi, pendidikan dan kesejahteraan sosial — maka ada ruang untuk kita bekerjasama,” katanya.
Danial menjelaskan kerjasama antara parti-parti pembangkang digerakkan oleh komitmen bersama untuk mengutamakan kepentingan rakyat.
Walaupun mengakui Muda tidak berkongsi semua nilai dengan parti lain, beliau berkata terdapat bidang penting yang boleh dijadikan titik persamaan.
“Dalam isu-isu itu, kita boleh bekerjasama, sama seperti kerjasama yang dapat dilihat antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional,” katanya lagi.
Beliau turut menegaskan bahawa Muda tidak akan sekali-kali berkompromi dengan prinsipnya, sambil menambah bahawa parti itu akan terus menyuarakan isu-isu mendesak selaras dengan perlembagaan dan prinsip asasnya.