Ibu buat repot lepas video anak kejar kereta tular

Ibu buat repot lepas video anak kejar kereta tular

Ibu wanita itu tidak sedar seorang lagi anak kembarnya belum masuk dalam kereta.

Tular video seorang kanak-kanak mengejar kereta ibunya.
PETALING JAYA:
Kertas siasatan dibuka mengenai satu video tular memaparkan seorang murid berlari mengejar kereta dipandu ibunya setelah tertinggal di hadapan sebuah sekolah rendah di Seri Kembangan, Selangor.

Ketua Polis Serdang Muhamad Farid Ahmad, berkata pihaknya sudah menerima laporan daripada ibu kanak-kanak berkenaan yang merupakan seorang suri rumah berumur 37 tahun.

Beliau berkata, kejadian dikatakan berlaku kira-kira 12 tengah hari 20 Ogos ketika suri rumah berkenaan mengambil pasangan anak kembarnya dari sekolah, namun semasa membuat pusingan U wanita itu menyedari ketiadaan seorang daripada anaknya dalam kereta.

“Pengadu terus memberhentikan kenderaan setelah melihat anak lelakinya mengejar kereta dari arah belakang,” katanya menurut Bernama.

Farid berkata, video berdurasi seminit berkenaan telah dimuat naik satu akaun Facebook dengan kapsyen ‘marah anak janganlah tergamak buat sampai macam tu sekali’ dan telah mengundang pelbagai komen negatif daripada pengguna media sosial terhadap wanita itu.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

“Kes masih dalam siasatan. Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi dan komentar yang boleh mengganggu siasatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.