
Ketua Penerangan, Suhaimi Nasir, berkata beliau sendiri bersama Adun Sungai Manila Mokran Ingkat bertemu Shahelmey untuk ‘mencari titik persamaan supaya keputusan parti dibuat secara kolektif’ sebelum gerakan berkenaan.
“Namun, beliau menolak,” dedah Suhaimi yang juga Ahli Parlimen Libaran kepada FMT.
Suhaimi mendakwa, keengganan Shahelmey berbincang untuk menjayakan percaturan politik berkenaan kerana dendam peribadi terhadap Warisan.
“Semua tahu, ketika Warisan memerintah, khidmat beliau sebagai pengarah urusan Borneo Highway PDP Sdn Bhd syarikat rakan pelaksana projek Pan Borneo telah ditamatkan pada 2019,” dakwanya.
Kelmarin, FMT melaporkan Shahelmey mendakwa Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin tidak membincangkan perkara itu dengan semua wakil rakyatnya, sebelum usaha menjatuhkan kerajaan Hajiji Noor.
“Saya tidak dibawa berbincang dalam gerakan itu, tetapi prinsip saya jelas – tidak mahu mengkhianati mandat rakyat untuk menukar kerajaan,” katanya yang juga timbalan ketua menteri Sabah.
Shahelmey bersama lima wakil rakyat Umno lain ketika itu memilih menyokong pentadbiran Hajiji, yang membawa kepada penggantungan keahliannya dalam Umno selama enam tahun bermula Mac 2023.
Percaturan politik digerakkan Bung bersama Presiden Warisan Shafie Apdal bagaimanapun gagal selepas tidak mendapat sokongan mencukupi.
Hajiji yang dilantik sebagai ketua menteri pada September 2020, terus disokong Adun Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH).
Bung kemudian digugurkan daripada jawatan timbalan ketua menteri dan tempatnya digantikan Shahelmey.