13 remaja didapati bersalah bunuh pelajar kolej vokasional

13 remaja didapati bersalah bunuh pelajar kolej vokasional

Tertuduh yang berusia antara 16 hingga 19 tahun didapati bersalah membunuh Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan pada Mac tahun lalu.

kes pelajar vokasional
Seramai 13 remaja berusia 16 hingga 19 tahun dituduh bersama membunuh pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan pada Mac 2024. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tiga belas remaja didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Tawau di Sabah atas tuduhan membunuh pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu, Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan pada Mac tahun lalu.

Hakim Duncan Sikodol ketika membacakan keputusan itu berkata pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap semua tertuduh yang berusia antara 16 hingga 19 tahun itu, lapor Sinar Harian.

Bagaimanapun, beliau menangguhkan hukuman kepada 28 Ogos sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Mengikut pertuduhan, semua remaja itu dituduh bersama membunuh Nazmie Aizzat, 17, di bilik asrama Kolej Vokasional Lahad Datu pada 9 malam 21 Mac hingga 7.38 pagi 22 Mac 2024.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abdul Latif dan Ng Jhun Tao.

Lapan daripada 13 tertuduh diwakili peguam Kamarudin Mohmad Chinki, Ram Singh serta Chen Wen Jye, manakala baki lima tertuduh diwakili peguam Abdul Ghani Zelika serta peguam lantikan Vivien Thien, Jhasseny P Kang, Kusni Ambotuwo dan Mohamed Zairi Zainal Abidin.

Pada 15 April lalu, pasukan pembelaan menutup kes mereka selepas memanggil 18 saksi memberi keterangan pada perbicaraan peringkat bela diri.

Semua 13 remaja itu memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi.

Dalam kejadian itu Nazmie Aizzat ditemui tidak sedarkan diri di atas katil di bilik asramanya di kolej tersebut sebelum disahkan meninggal dunia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.