Muhyiddin juga perlu mohon maaf buat pelbagai dakwaan terhadap kerajaan, kata Anwar

Muhyiddin juga perlu mohon maaf buat pelbagai dakwaan terhadap kerajaan, kata Anwar

Perdana menteri berkata ini termasuk dakwaan pentadbiran beliau tidak menyalurkan peruntukan kepada Kelantan.

Anwar Ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata beliau tiada masalah memohon maaf kepada Muhyiddin Yassin sekiranya beliau melakukan kesilapan.
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin juga perlu memohon maaf atas pelbagai dakwaan yang dilemparkan terhadap kerajaan sebelum ini.

“Dakwaan itu seperti kononnya kerajaan zalim dan tidak menyalurkan peruntukan kepada Kelantan serta ratusan lagi dakwaan lain,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Undang-Undang Asean, di sini.

Minggu lalu, Anwar memberitahu Dewan Rakyat bahawa beliau sedang menunggu hasil siasatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menentukan sama ada tiga sumber maklumat yang beliau rujuk adalah palsu atau sebaliknya.

Jika SKMM mengesahkan sumber itu tidak sahih dan beliau melakukan kesilapan, Anwar berkata beliau ‘tiada masalah’ untuk memohon maaf kepada Muhyiddin.

Anwar sebelum ini dilaporkan berkata Muhyiddin yang juga presiden Bersatu, mempersoalkan kerajaan kerana membebankan warga asing sedangkan mereka turut menyumbang besar kepada negara.

Perdana menteri berkata kerajaan membuat keputusan mengenai subsidi bersasar bagi elektrik dan petrol RON95 supaya ia dapat terus membantu rakyat sambil mengurangkan defisit fiskal negara.

Muhyiddin kemudian menafikan pernah membuat kenyataan seperti itu dan menggesa Anwar mengemukakan bukti.

Anwar kemudiannya meminta SKMM menyiasat dakwaannya itu dan mengambil tindakan sewajarnya, sebagai sebahagian daripada usaha ‘menegakkan ketelusan dan tanggungjawab’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.