Malaysia perlu beralih kepada ekonomi berasaskan penciptaan nilai

Malaysia perlu beralih kepada ekonomi berasaskan penciptaan nilai

Tumpuan akan diberikan kepada sektor dan industri bernilai tinggi berasaskan teknologi dan inovasi, kata menteri kewangan II.

semiconductor
Keutamaan akan diberi untuk melonjakkan industri HGHV, termasuk elektrik dan elektronik, peralihan tenaga, serta teknologi dan digital, kata Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan.
PETALING JAYA:
Malaysia perlu beralih kepada pembangunan ekonomi berasaskan penciptaan nilai dengan meningkatkan kerencaman ekonomi untuk menaikkan siling, kata Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan.

Amir Hamzah berkata, tumpuan akan diberikan kepada sektor dan industri bernilai tinggi yang berasaskan teknologi dan inovasi.

Peralihan ini, katanya, akan dapat memupuk budaya mencipta, seiring dengan hasrat menjadikan Malaysia sebagai pengeluar utama produk pengguna untuk dieksport ke seluruh dunia.

“Ini sejajar dengan usaha beralih daripada konsep ‘Made in Malaysia’ kepada ‘Made by Malaysia’,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini, lapor Bernama.

Amir Hamzah yang juga menjalankan tugas dan fungsi menteri ekonomi berkata, keutamaan akan diberi untuk melonjakkan industri dengan pertumbuhan dan nilai tinggi (HGHV).

Ini termasuk industri elektrik dan elektronik bernilai tinggi, terutama semikonduktor, peralihan tenaga, serta teknologi dan digital.

“Strategi ini selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS).

“Selain itu, subsektor agromakanan dan agrikomoditi akan terus dilonjakkan bagi memastikan keterjaminan makanan dan pengurangan import,” katanya.

Mengenai unsur nadir bumi, beliau berkata, ekonomi hijau dan ekonomi biru serta inisiatif pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon akan menjadi sumber baharu pertumbuhan ekonomi.

Bagi pembangunan sektor strategik berimpak tinggi pula, usaha akan ditumpukan kepada memantapkan sektor pelancongan, selain merancakkan industri pengangkutan udara, perkhidmatan global dan kewangan, perdagangan pengedaran, logistik serta sukan, tambahnya.

“Bagi melonjakkan pertumbuhan sektor dan industri ini, ekosistem sokongan akan ditambah baik melalui pengukuhan dasar dan tatakelola, penyediaan insentif dan pembiayaan serta pembangunan infrastruktur.

“Langkah ini akan menyokong pelaburan berkualiti dan penskalaan industri,” katanya.

Amir Hamzah berkata, kerajaan meletakkan sasaran ekonomi dalam tempoh RMK13 dengan mengambil kira prestasi RMK12 serta perspektif ekonomi dan perdagangan dunia seperti pertumbuhan purata Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) disasarkan antara 4.5 hingga 5.5% setahun, berbanding 5.0% bagi RMK12.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.