
Menteri Armizan Mohd Ali berkata, ini kerana kerajaan ingin menumpukan pengukuhan dan peluasan kerjasama strategik dengan rangkaian sektor peruncitan sedia ada melalui Program Jualan Rahmah Madani (PJRM).
“(Ini) sama ada pasar raya, pusat pembelian termasuklah kedai runcit.
“Kita juga memikirkan kekhuatiran mereka sekiranya wujud kedai khas, maka ia memberi kesan kepada perniagaan premis peruncitan itu,” katanya ketika ucapan penggulungan perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab Andi Muhammad Suryady Bandy (BN-Kalabakan) yang membangkitkan cadangan mewujudkan semula kedai rakyat seperti sebelum ini dan dijenamakan sebagai kedai Madani yang menawarkan harga mampu milik dengan keseragaman di seluruh negara.
Dalam pada itu, Armizan berkata pihaknya membuka ruang kepada kedai runcit, pasar raya dan pusat membeli-belah yang mahu terbabit dalam PJRM.
Bagaimanapun, beliau berkata terdapat dua faktor penting akan dipertimbangkan iaitu aspek lokaliti, sama ada premis mempunyai akses meluas kepada rakyat untuk ke PJRM.
Katanya, faktor kedua adalah kemampuan dan kemampanan kedai runcit yang terlibat menawarkan kategori barangan iaitu unit simpanan stok (SKU) yang pelbagai.
“Selain itu, keputusan untuk tidak melaksanakan kedai rakyat pada masa ini juga berdasarkan pengalaman pelaksanaan kedai seumpamanya di masa lepas seperti KR1M yang melibatkan operasi tinggi seperti sewaan premis, logistik dan penyelenggaraan berterusan.
“Kerajaan juga berdepan persepsi tidak adil terkait isu persaingan kedai rakyat dengan peruncit sedia ada,” katanya.