KKM lancar garis panduan buli, takkan normalisasi budaya toksik

KKM lancar garis panduan buli, takkan normalisasi budaya toksik

Menteri kesihatan memberi jaminan identiti pemberi maklumat akan dilindungi sepenuhnya bagi menjaga privasi dan maklumat diterima.

Dzulkefly Ahmad bernama pic 21825
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad melancarkan Garis Panduan Pengurusan Buli di Tempat Kerja bagi anggota Kementerian Kesihatan di Putrajaya hari ini. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad menegaskan kementeriannya berpegang kepada dasar toleransi sifar terhadap amalan buli di tempat kerja dan tidak akan sesekali menormalisasikan budaya toksik dalam organisasi.

Menurutnya, amalan buli di tempat kerja gangguan sistemik yang meruntuhkan integriti organisasi, melemahkan motivasi dan menjejaskan kerjasama pasukan.

Beliau berkata, kesannya amat parah apabila warga kerja tertekan atau dipinggirkan menyebabkan mutu penjagaan pesakit terancam.

“KKM juga tidak akan berkompromi terhadap pelaku, termasuk pegawai pengurusan tertinggi dipecat, jika disabit bersalah menyembunyikan kes,” katanya selepas melancarkan Garis Panduan Pengurusan Buli di Tempat Kerja bagi anggota KKM di sini.

“Amalan toksik buli di KKM ini mungkin tidak ramai yang ingat, tetapi saya ingin mengingatkan semua. Pada penggal pertama saya memimpin KKM, saya telah mengambil tindakan terhadap seorang ketua jabatan di sebuah hospital. Akhirnya, beliau dipecat.”

KKM kementerian pertama dalam sektor awam memperkenalkan panduan khusus menangani kes buli.

Dzulkefly berkata, walaupun kedudukan peribadi individu tersebut tinggi dalam hierarki perjawatan KKM, beliau tetap bertindak dan ia jelas mencerminkan komitmen KKM menolak tabiat dan tingkah laku buli, khususnya di tempat kerja.

Katanya, 430 aduan buli direkodkan menerusi sistem MyHealth setakat 31 Julai lalu dan setiap aduan disiasat dengan teliti berdasarkan prinsip keadilan, ketelusan dan perlindungan kerahsiaan, termasuk bagi pengadu serta pemberi maklumat.

“Saya tidak mahu sebarang kes dilaporkan secara culas atau diremehkan, khususnya oleh ketua jabatan.”

Beliau memberi jaminan identiti pemberi maklumat akan dilindungi sepenuhnya, termasuk di bawah garis panduan baharu itu bagi menjaga privasi serta maklumat diterima.

“Sangat penting untuk memastikan mangsa atau pemberi maklumat dilindungi terlebih dahulu, sebelum apa-apa tindakan lain diambil,” katanya sambil menekankan budaya saling menegur dalam kalangan warga kerja agar KKM menjadi organisasi dinamik, proaktif serta berdaya tahan.

“Budaya buli mesti dihentikan. Kita perlu mewujudkan suasana kerja selamat, penuh kasih sayang dan berteraskan nilai Madani. Itu tanggungjawab bersama, bermula daripada kepimpinan tertinggi hingga ke seluruh warga kerja.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.