Kertas siasatan berkait laporan Bloomberg diserah ke AGC

Kertas siasatan berkait laporan Bloomberg diserah ke AGC

Laporan itu mendakwa Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki memberitahu pegawainya bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan siasatan ke atas bekas ahli politik tertentu.

Azalina Othman Said
Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said berkata SPRM sudah membuat laporan polis berhubung artikel disiarkan Bloomberg pada September 2024.  (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis sudah menyerahkan kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) susulan siasatan ke atas laporan Bloomberg mendakwa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim campur tangan dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam jawapan bertulis Parlimen, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, berkata SPRM membuat laporan polis berhubung artikel itu, yang diterbitkan agensi berita global terbabit September tahun lalu.

Bloomberg memetik sumber melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki memberitahu pegawainya bahawa Anwar mengarahkan siasatan ke atas bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad dan anak-anaknya, serta bekas menteri kewangan, Daim Zainuddin.

Laporan itu juga mendakwa SPRM diminta tidak menyiasat pembelian saham oleh bekas setiausaha politik Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Pejabat Perdana Menteri dan SPRM menafikan dakwaan Bloomberg itu.

Polis dilaporkan berkata, kes itu disiasat atas dakwaan fitnah, kenyataan yang membawa kepada kerosakan awam dan penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.

Azalina berkata, walaupun rakyat mempunyai hak kebebasan bersuara seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, ia bukan bersifat mutlak.

Beliau menjawab soalan Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) sama ada kerajaan berhasrat mengambil tindakan undang-undang terhadap Bloomberg susulan laporannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.