Jangan terpedaya taktik scammer, bantuan SARA dikredit terus ke MyKad

Jangan terpedaya taktik scammer, bantuan SARA dikredit terus ke MyKad

Kementerian Kewangan berkata tiada pendaftaran atau permohonan diperlukan bagi mendapatkan bantuan 'one-off' RM100.

Sejumlah 22 juta pemegang MyKad warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas termasuk penerima SARA sedia ada layak menerima bantuan yang boleh digunakan hingga 31 Dis. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Orang ramai diingatkan tidak terpedaya dengan helah sindiket penipuan atau scammer berhubung bantuan penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang akan disalurkan terus ke dalam MyKad penerima bermula 31 Ogos ini.

Menurut Kementerian Kewangan (MOF), tiada pendaftaran atau permohonan diperlukan bagi mendapatkan bantuan ‘one-off’ RM100 kerana kelayakan ditentukan automatik berdasarkan data pemegang MyKad Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Penghargaan SARA ini adalah usaha ikhlas kerajaan Madani untuk mengagihkan hasil reformasi fiskal negara kepada seluruh warganegara dewasa. Ia tidak perlu dimohon dan akan terus dikreditkan ke dalam MyKad masing-masing,” kata Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Anwar Ibrahim dalam kenyataan.

Sejumlah 22 juta pemegang MyKad warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas termasuk penerima SARA sedia ada layak menerima bantuan yang boleh digunakan hingga 31 Dis.

Semakan kelayakan boleh dibuat mulai hari ini melalui portal rasmi SARA di https://sara.gov.my yang turut menyediakan senarai kedai terlibat, panduan pembelian serta soalan lazim.

Bantuan itu boleh dibelanjakan di lebih 7,300 premis runcit berdaftar seluruh negara, melibatkan lebih 100,000 barangan keperluan asas dalam 14 kategori. Ini termasuk makanan seperti beras dan telur, ubat-ubatan, barangan kebersihan diri dan rumah, serta keperluan persekolahan.

Kerajaan turut memperkenalkan opsyen bagi penerima menyumbang semula bantuan tersebut kepada golongan memerlukan, misalnya dengan membeli barangan untuk disumbangkan kepada badan kebajikan atau tempat ibadat.

Secara kolektif, sesebuah isi rumah boleh menerima jumlah lebih tinggi seperti contoh suami isteri dengan dua anak dewasa akan menerima RM400 keseluruhan.

MOF turut memaklumkan sebarang baki tidak digunakan menjelang hujung tahun akan dikembalikan kepada golongan rentan melalui inisiatif lain bawah program kerajaan Madani.

Dengan pelaksanaan penghargaan SARA, jumlah keseluruhan peruntukan program itu dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) tahun ini meningkat kepada RM15 bilion, peningkatan 50% berbanding RM10 bilion tahun lalu.

Pada 23 Julai, Anwar mengumumkan bantuan penghargaan SARA sebanyak RM100 sekali beri melalui MyKad kepada 22 juta rakyat berumur 18 tahun ke atas sempena Hari Kebangsaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.