Jangan layan Sabah seperti papan catur, pemimpin Semenanjung diberitahu

Jangan layan Sabah seperti papan catur, pemimpin Semenanjung diberitahu

Ketua Wanita MCA Sabah Pamela Yong berkata pembahagian kerusi bandar dan luar bandar antara BN dan PH adalah strategi terlalu mudah.

pamela yong mca n ahmad maslan
Pamela Yong mengkiritik Ahmad Maslan berhubung pandangan ‘terlalu mudah’ beliau tentang bagaimana Barisan Nasional dan Pakatan Harapan boleh bekerjasama dalam PRN Sabah.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin MCA Sabah mahu pemimpin persekutuan berhenti melayan negeri itu seperti ‘papan catur’ kerana tindakan sedemikian boleh menjejaskan peluang Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) pada PRN akan datang.

Ketua Wanita MCA Sabah, Pamela Yong berkata, pemimpin-pemimpin itu tidak sepatutnya membuat kenyataan “dari menara gading, yang jauh terasing daripada realiti dinamik politik tempatan”.

“Adalah penting untuk mereka memahami realiti di bawah. Jika tidak, kita akan berjalan masuk ke dalam perangkap pembangkang,” katanya kepada FMT.

Yong mengulas dakwaan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Ahmad Maslan bahawa BN akan bertanding di kerusi luar bandar manakala PH pula menumpukan kawasan bandar di Sabah.

Katanya, perpaduan tidak boleh diisytiharkan melalui sidang media tetapi dibina melalui ‘rundingan jujur dan saling menghormati’.

Pada Ahad lalu, Ahmad berkata pembahagian kerusi yang dimuktamadkan menunjukkan kerjasama BN-PH berada di landasan tepat ketika semua parti bersiap sedia membuat pecutan terakhir untuk meraih undi.

Walaupun beliau tidak mendedahkan jumlah kerusi yang diperuntukkan kepada BN, Ahmad berkata “kerusi bandar milik PH manakala BN akan menumpukan kawasan luar bandar”.

Yong menyifatkan strategi itu sebagai ‘terlalu mudah’ dan kenyataan Ahmad sebagai ‘sombong’.

Beliau berkata, perkembangan politik tempatan di Sabah sering diabaikan dalam strategi atas ke bawah seperti itu.

Katanya, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang memerintah dan PH Sabah telah mencapai kemajuan lebih bermakna dalam rundingan mereka, dipacu oleh pengiktirafan bersama terhadap realiti politik serta keperluan untuk kekal relevan di peringkat tempatan.

Bagaimanapun, Yong berkata perbincangan antara BN Sabah dan PH Sabah pula masih ‘compang-camping’.

“Mereka kurang kesepakatan atau tujuan bersama yang penting bagi memastikan kejayaan dalam pembahagian kerusi,” katanya.

“Berlagak sebaliknya hanya membawa risiko pertarungan pelbagai penjuru – terutama di kawasan tiada pihak dapat mencapai kata sepakat.”

Yong juga berkata persetujuan untuk membiarkan keadaan ‘terbuka untuk semua’ di beberapa kawasan adalah resepi kepada bencana.

Tanpa usaha bersepadu untuk memastikan pertembungan satu lawan satu – khususnya menentang parti seperti Warisan – BN dan PH berisiko memecahkan undi penyokong kerajaan sekali gus menyerahkan kemenangan kepada pembangkang.

“Sabah berhak mendapat strategi lebih baik, bukan strategi separuh masak dan muslihat politik yang disamarkan sebagai perpaduan gabungan,” katanya.

Yong menegaskan jika BN benar-benar serius mahu mempertahankan Sabah dan membina satu barisan bersatu, rundingan mesti bersifat strategik, inklusif, dan dipimpin oleh mereka yang memahami medan tempur politik tempatan.

“Ia tidak sepatutnya ditentukan dari Putrajaya. Jika tidak, kita berisiko mengulangi kesilapan lalu dan kehilangan bukan sahaja kerusi, tetapi juga keyakinan rakyat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.