
Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE), Noor Azimah Rahim, berkata ia perlu bagi memastikan tindakan cuba ‘menyapu insiden di bawah karpet untuk jaga nama sekolah’ tidak berlaku.
Katanya, perlu ada sistem pemantauan bebas atau saluran aduan terus kepada Kementerian Pendidikan (KPM) yang tidak melalui sekolah semata-mata.
“Insentif mungkin boleh menjadi dorongan awal untuk sekolah meningkatkan usaha pencegahan buli. Namun, kita perlu berhati-hati jika ada pihak sekolah cuba tidak melaporkan kes sebenar demi menjaga imej dan mendapatkan ganjaran, dengan hanya angka sifar dijadikan ukuran.

“Budaya ‘sorok bawah karpet’ boleh berlaku dan akhirnya mangsa buli tidak mendapat pembelaan. Lebih bahaya jika pelajar hilang keyakinan untuk melapor kerana merasakan aduan mereka tidak akan dipandang serius,” katanya kepada FMT.
Azimah mencadangkan pengiktirafan diberi kepada guru, pelajar mahupun Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang aktif melaksanakan program antibuli.
“Usaha membina budaya sekolah yang selamat, empati dan saling hormat antara pelajar adalah lebih kekal daripada sekadar mengejar insentif,” katanya.
Ahad lalu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dilaporkan berkata beliau akan memberikan insentif kepada sekolah jika berjaya mencapai rekod sifar buli.
Langkah itu menyusul beberapa kes buli di sekolah termasuk kematian pelajar Tingkatan 1, Zara Qairina Mahathir.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail memberitahu Dewan Rakyat kelmarin siasatan ke atas kematian Zara mendedahkan unsur buli, pengabaian dan gangguan seksual.
Bagaimanapun semalam, Bendahari Pemuda DAP Sarawak Wong King Yii mengkritik tawaran Fadhlina, mengingatkan langkah itu boleh melahirkan budaya berdiam diri semata-mata untuk mendapatkan insentif.
Beliau bimbang sekolah akan menutup kes buli daripada menanganinya dengan betul.
Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa dalam Pendidikan Melaka (Magpie), Mak Chee Kin, menyifatkan cadangan tersebut sebagai ‘pendek akal’ kerana hanya akan memburukkan lagi keadaan.

Katanya, lebih baik ia diberi kepada sekolah berjaya mewujudkan persekitaran kasih sayang dengan pimpinan pengetua yang sentiasa memantau dan berinteraksi secara aktif dengan guru, murid, asrama, dan seluruh warganya.
“Sekarang tiada insentif tapi disebabkan ada petunjuk prestasi utama (KPI), sudah ada sekolah yang cuba menutup dan menyembunyikan (kes buli) demi imej sekolah. Kalau ada insentif, lagi teruk keadaan.
“Sepatutnya diterbalikkan. Insentif kepada mereka yang melaporkan insiden buli, KPI dan naik pangkat untuk mereka yang lapor,” katanya.