Anwar ‘serius timbang’ tubuh semula Kementerian Undang-undang

Anwar ‘serius timbang’ tubuh semula Kementerian Undang-undang

Malaysia mempunyai Kementerian Undang-undang sebelum dibubarkan pada 1995.

ANWAR IBRAHIM
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata sistem perundangan negara akan mempunyai struktur lebih baik dengan adanya Kementerian Undang-undang.
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sedang mempertimbangkan secara serius penubuhan semula Kementerian Undang-undang.

Malaysia mempunyai Kementerian Undang-undang sebelum dibubarkan pada 1995 dan digantikan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) bawah Jabatan Perdana Menteri, yang kini diketuai Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Azalina Othman Said.

Anwar berkata, dengan menghidupkan semula Kementerian Undang-undang, sistem perundangan negara akan mempunyai struktur lebih baik dan dapat mengukuhkan peranan Malaysia di rantau ini.

“Menteri undang-undang (Azalina) amat bersemangat dan sentiasa ‘mengganggu’ kami untuk melakukan perubahan secepat mungkin. Oleh itu, saya perlu mempertimbangkan secara serius penubuhan Kementerian Undang-undang.

“Ini bukan saja akan memastikan kesepaduan lebih baik dalam ekosistem perundangan negara, ia juga akan membolehkan Malaysia berinteraksi dengan lebih bermakna bersama rakan serantau dalam usaha memajukan kedaulatan undang-undang,” katanya pada Forum Undang-Undang Asean di ibu negara.

Menekankan kepentingan kerjasama serantau dalam mengukuhkan kedaulatan undang-undang, Anwar berkata, Malaysia akan berada pada kedudukan lebih kukuh untuk membentuk tertib serantau lebih adil dan responsif melalui penyelarasan amalan terbaik dengan negara jiran.

Beliau menyeru Asean terus melabur dalam bantuan perundangan bersama, menambah baik mekanisme penyelesaian pertikaian serta berdepan cabaran baharu seperti tadbir urus digital dan pengawalseliaan kecerdasan buatan.

Tahun lalu, Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme berkata, Malaysia memerlukan Kementerian Undang-undang khusus untuk mengendalikan agenda pembaharuan undang-undangnya secara berkesan kerana hampir semua rakan jiran Malaysia di Asean mempunyai badan sama.

Badan pemantau antirasuah itu berkata, walaupun BHEUU bertanggungjawab untuk pelbagai fungsi, bajet dan kapasiti terhadnya menghalang keberkesanannya.

BHEUU bertanggungjawab secara pentadbiran ke atas pelbagai agensi seperti Jabatan Insolvensi, Jabatan Bantuan Guaman, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan dan Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.