Ahli akademik kritik cadangan Wan Fayhsal tukar nama Rafflesia

Ahli akademik kritik cadangan Wan Fayhsal tukar nama Rafflesia

Bekas pensyarah UMS, Ghazally Ismail berkata cadangan itu menunjukkan kurangnya pengetahuan Ahli Parlimen Machang mengenai pengelasan saintifik bunga.

Rafflesia
Bekas pensyarah UMS, Ghazally Ismail berkata Rafflesia adalah nama saintifik bagi genus tumbuhan berbunga parasit yang terdapat di Asia Tenggara.
PETALING JAYA:
Seorang ahli akademik mengkritik cadangan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal untuk menukar nama bunga Rafflesia bagi menghapuskan legasi pegawai penjajah British, Stamford Raffles.

Bekas pensyarah Universiti Malaysia Sarawak, Ghazally Ismail berkata cadangan Wan Fayhsal itu memalukan Parlimen dan menunjukkan kurangnya pengetahuan pemimpin Bersatu itu mengenai pengelasan saintifik bunga.

“Rafflesia bukan jenama atau nama jalan. Ia adalah nama saintifik bagi genus tumbuhan berbunga parasit yang terdapat di Asia Tenggara. Nama yang wujud jauh lebih awal daripada kerjaya parlimen (Wan Fayhsal), dan jika bernasib baik, akan terus wujud lebih lama daripadanya.

“Kamu bukan cabaran penjajahan. Sebaliknya memalukan Parlimen yang kamu angkat sumpah untuk berkhidmat. Selepas ini apa pula? Tukar nama Hukum Newton kerana Isaac Newton bukan orang Malaysia?” katanya, menurut laporan The Borneo Post.

Ghazally turut mempersoalkan keutamaan ahli parlimen pembangkang itu, sambil menegaskan bahawa menukar nama bunga terbesar di dunia itu tidak akan menghapuskan sebarang kesan penjajahan.

Katanya, wakil rakyat Perikatan Nasional itu sepatutnya menggunakan masanya di Dewan Rakyat untuk membangkitkan isu yang lebih mendesak seperti kos sara hidup serta isu alam sekitar dan pendidikan.

“Biarlah Rafflesia itu kekal dengan namanya. Bunganya mungkin berbau seperti kematian, tetapi baunya tidak seteruk keruntuhan intelektual yang sedang kita saksikan,” katanya.

Ghazally, seorang pakar imunologi perubatan, dilaporkan memainkan peranan penting dalam penubuhan hutan simpan Rafflesia di Taman Negara Banjaran Crocker, Sabah.

Wan Fayhsal mencadangkan penukaran nama Rafflesia pada Selasa lalu dengan alasan ia dinamakan sempena Raffles, yang digambarkannya sebagai seorang lelaki ‘tak berakhlak, tak beretika’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.