38 kereta mewah tiada cukai jalan disita

38 kereta mewah tiada cukai jalan disita

Tuan punya kereta mewah terbabit terdiri pemilik syarikat dan ahli korporat.

Zulkifli Ismail
Kenderaan mewah disita termasuk Rolls-Royce, Porsche, Mercedes-Benz, BMW dan Ferrari yang didapati tiada LKM serta insurans antara enam bulan hingga lebih dua tahun. (Gambar Bernama)
BUKIT MERTAJAM:
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang menyita 38 kenderaan mewah bernilai lebih RM10 juta dalam Ops Luxury atas kesalahan tidak memiliki cukai jalan (LKM) dan insurans kenderaan yang sah.

Pengarah JPJ Pulau Pinang, Zulkifli Ismail, berkata operasi dijalankan sejak Jun hingga semalam itu secara keseluruhannya menumpukan terhadap kenderaan mewah yang digunakan di jalan raya tanpa mematuhi syarat perundangan ditetapkan.

“Kenderaan mewah disita termasuk Rolls-Royce, Porsche, Mercedes-Benz, BMW dan Ferrari yang didapati tiada LKM serta insurans antara enam bulan hingga lebih dua tahun, namun tetap digunakan di jalan raya.

“Pemeriksaan mendapati Rolls-Royce bernilai lebih RM3 juta itu merekodkan nilai cukai jalan paling tinggi iaitu RM54,000 setahun dan tidak bayar sejak setahun lepas. Keseluruhan kenderaan disita tidak membayar cukai jalan sebanyak RM77,400,” katanya dalam sidang media di pejabat JPJ Pulau Pinang.

Beliau berkata, pemilik kereta mewah terbabit adalah dalam kalangan syarikat dan individu terdiri daripada pemilik syarikat dan ahli korporat serta semasa ditahan ada antara kenderaan itu dipandu ahli keluarga atau pekerja syarikat mereka.

Zulkifli berkata, pihaknya mendapati alasan paling banyak diberikan ialah terlupa untuk memperbaharui LKM dan insurans terbabit.

Katanya, semua kenderaan mewah itu ditempatkan di JPJ negeri selagi pemiliknya tidak menjelaskan saman dan memperbaharui cukai jalan serta insurans walaupun mempunyai dokumen pemilikan lengkap dan sah.

“Ia disita dan disiasat bawah Seksyen 23 dan 90 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Operasi akan diteruskan dalam usaha memastikan semua kenderaan mematuhi peraturan ditetapkan.

“Penguatkuasaan ini penting demi keselamatan pengguna jalan raya kerana jika berlaku kemalangan membabitkan kenderaan tanpa insurans, ia akan menyusahkan pemilik dan pihak ketiga,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.