
Presiden PKR itu berkata, beliau akan membuat semakan status surat berkenaan dengan Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh.
“Surat itu sudah lama (diterima). Saya kena semak dengan setiausaha agung,” katanya ringkas selepas perhimpunan bulanan warga Kementerian Kewangan di sini.
Pada 9 Ogos lalu, Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh mengesahkan permohonan Tengku Zafrul diluluskan Majlis Pimpinan Pusatnya pada 26 Julai lalu. Beliau kini ahli PKR Ampang.
Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki pada 13 Ogos lalu berkata, parti itu akan menyampaikan nota bantahan kepada semua parti gabungan kerajaan perpaduan yang bercadang atau sudah menerima kemasukan ahlinya dalam parti masing-masing.
Katanya, nota bantahan itu mewakili ‘amaran keras’ kepada komponen kerajaan perpaduan bahawa hubungan dalam gabungan boleh menjadi rumit jika perkara itu tidak ditangani sewajarnya.
Senator itu mengumumkan peletakan jawatannya dalam Umno pada 30 Mei lalu, sekali gus melepaskan jawatan ahli Majlis Kerja Tertinggi dan ketua Kota Raja.
Tengku Zafrul menyertai Umno sejak 1997, tetapi dilihat sebagai teknokrat apabila dilantik menteri kewangan dalam Jemaah Menteri Muhyiddin Yassin pada Mac 2020, peranan dikekalkannya dalam kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob.
Keahliannya dalam Umno hanya diketahui umum menjelang PRU 2022 apabila dinamakan calon Barisan Nasional bagi kerusi Parlimen Kuala Selangor, yang gagal dimenanginya.
Tengku Zafrul melepaskan jawatan bendahari Umno Selangor pada April 2024 atas alasan tiada usaha ‘gigih’ memperbaiki parti di negeri itu selepas kalah teruk pada PRN.
Spekulasi beliau meninggalkan Umno mula tersebar Disember lalu.
Penggal kedua dan terakhirnya sebagai senator akan tamat akhir tahun ini, yang mana beliau perlu berundur sebagai menteri.