Syahredzan kritik pemimpin PAS main sentimen agama selepas wakil rakyat digantung

Syahredzan kritik pemimpin PAS main sentimen agama selepas wakil rakyat digantung

Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan berkata pemimpin PAS seperti Timbalan Ketua Pemuda PAS, Hafez Sabri hanya tahu memainkan sentimen kaum dan agama.

Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan berkata PAS masih meneruskan politik perkauman yang sempit.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Pakatan Harapan, Syahredzan Johan, mengkritik seorang pemimpin PAS kerana memainkan sentimen agama selepas seorang wakil rakyat parti itu digantung daripada Dewan Rakyat oleh Timbalan Speaker, Alice Lau.

Dalam satu hantaran di Facebook, Syahredzan menegur Timbalan Ketua Pemuda PAS, Hafez Sabri, bahawa Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaary, digantung kerana enggan mematuhi amaran berulang kali daripada Lau susulan pertikaman lidah berhubung usaha penjenamaan semula Tabung Haji.

“Apa yang terjadi ini tidak ada kena mengena dengan parti mahupun agama Lau. Tetapi, seperti biasa, pemimpin PAS seperti Hafez hanya tahu memainkan sentimen kaum dan agama.

“Sepatutnya seorang wakil rakyat muda bawa politik baru yang lebih segar dan matang, tetapi malang sungguh politik PAS masih di takuk lama yang sama,” kata Ahli Parlimen Bangi itu

“Pemimpin muda tetapi masih meneruskan politik perkauman yang sempit”.

Pada Isnin, Lau menggantung Marzuk selama dua hari selepas beliau berulang kali mengingkari arahannya supaya berehat selama 30 minit ketika perbahasan mengenai penjenamaan semula Tabung Haji.

Pada hari yang sama, Hafez yang juga Adun Manjoi, mengecam penggantungan itu dengan mendakwa ia dibuat oleh ‘speaker bukan Islam dari DAP’.

Beliau turut mempersoalkan mengapa perbahasan berkaitan isu penting umat Islam dibentangkan di hadapan ‘speaker bukan Islam dari DAP’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.