
Sumber berkata, Op Sikaro itu diketuai Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri, Bank Negara dan Jabatan Kastam (JKDM) di 14 lokasi sekitar Lembah Klang serta Johor, semalam.
Katanya, sindiket itu dipercayai turut membabitkan pegawai agensi penguat kuasa dan siasatan akan memfokuskan usaha mengesan serta menyita aset pihak terbabit melalui aktiviti pengubahan wang haram.
Menurutnya, aktiviti penyeludupan itu menyebabkan kerajaan mengalami kerugian hasil cukai lebih RM250 juta sejak 2020 hingga tahun lalu.
“JKDM turut menggantung lesen import beberapa syarikat yang dikenal pasti terlibat kegiatan berkenaan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengarah Kanan BOK SPRM, Mohamad Zamri Zainul Abidin mengesahkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Beliau berkata, SPRM tidak akan berkompromi dengan pihak cuba mengaut keuntungan melalui rasuah, pengubahan wang haram dan penyeludupan yang merugikan negara.