
Anwar berkata isu kaum tidak sepatutnya menjadi penghalang dalam memilih individu yang berkelayakan untuk menerajui jabatan penting dalam kerajaan.
Pada 12 Ogos, Ketua Bersatu Port Dickson Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard memuat naik hantaran ‘ucapan tahniah tertunda’ kepada Kumar atas pelantikannya, sambil berkata ini menunjukkan bahawa Malaysia sudah mula menerima konsep “Malaysian Malaysia”.
Beliau turut merujuk kenaikan pangkat Johnny Lim sebagai leftenan-jeneral dalam angkatan tentera.
“Bagi saya itu tak ada masalah, siapa ada peranan mampu kendali dengan baik, dia layak,” kata Anwar pada perhimpunan bulanan warga Kementerian Kewangan.
Kumar secara rasmi mengambil alih jawatan sebagai pengarah JSJ Bukit Aman pada 8 Ogos lalu, menggantikan Shuhaily Zain yang dipindahkan untuk mengetuai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia.
Anwar yang juga menteri kewangan menegaskan majoriti kepimpinan polis masih dipegang oleh orang Melayu, termasuk ketua polis negara, timbalan serta beberapa pengarah lain.
Beliau turut membidas pihak yang terus mengapi-apikan isu perkauman dengan mengatakan bahasa Melayu sedang terhakis dan kuasa diserah kepada kaum Cina.
“Ini dialog berterusan dalam negara berbilang kaum dan agama. Tetapi saya mohon pengertian bahawa untuk selamatkan negara ini, kita kena jamin keadilan bagi majoriti dan minoriti.
Beliau menegaskan pendekatan kerajaan ialah memastikan keadilan yang seimbang untuk semua rakyat, sambil menambah sebarang kelemahan akan diperbaiki dari semasa ke semasa.
“Kita tidak mahu ‘tyranny of the majority’, kita juga tidak mahu ‘tyranny of the minority’,” katanya.
Frasa ‘tyranny of the majority’ merujuk apabila majoriti contohnya kaum terbesar berkuasa penuh sehingga minoriti diketepikan.
Manakala ‘tyranny of the minority’ bermaksud apabila minoriti pula diberi kelebihan sehingga majoriti berasa dizalimi.