Lelaki syak anak mati jatuh kondominium akibat buli

Lelaki syak anak mati jatuh kondominium akibat buli

Bapa berusia 50-an berkata rakan anaknya memaklumkan pelajar itu mengalami tekanan akibat dibuli secara mental kerana perselisihan pendapat.

garisan polis
Penuntut wanita berusia 22 tahun meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat 22 sebuah kondominium di Setapak, Kuala Lumpur, Rabu lalu.
PETALING JAYA:
Seorang lelaki membuat laporan polis selepas mengesyaki kematian anak perempuannya yang terjatuh dari tingkat 22 sebuah kondominium di Setapak, Kuala Lumpur, Rabu lalu akibat dibuli rakan.

Bapa berusia 50-an dikenali Jeff Ho berkata, anaknya berusia 22 tahun adalah penuntut universiti swasta di ibu negara.

“Saya dimaklumkan pihak pengurusan kondominium kira-kira 8.45 pagi bahawa anak saya meninggal dunia selepas dipercayai jatuh dari tingkat 22. Saya terus bergegas ke lokasi.

“Kemudian, rakan-rakan anak saya memaklumkan dia mengalami tekanan akibat dibuli secara mental kerana perselisihan pendapat,” katanya ketika ditemui di IPD Wangsa Maju, menurut Kosmo.

Ahli perniagaan itu berkata, anak kedua daripada tiga beradik berkenaan pernah meluahkan masalah sama kepada kakak dan adiknya sebelum ini.

Katanya, malah mangsa juga pernah cuba terjun minggu lalu namun berjaya diselamatkan pengawal keselamatan kondominium.

“Pihak berkaitan perlu memandang serius isu ini supaya kejadian sama tidak berulang hingga meragut nyawa orang lain,” katanya.

Difahamkan, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.