
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengadakan perbualan berasingan dengan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai pada Selasa.
Manet berkata, beliau menghubungi Anwar bagi mempercepatkan pelaksanaan mekanisme gencatan senjata.
“Kami juga membincangkan keperluan penubuhan segera Pasukan Pemerhati Asean (AOT) dan pengoperasian Pasukan Pemerhati Interim (IOT). Kedua-duanya mekanisme penting untuk memantau pelaksanaan gencatan senjata secara berkesan,” katanya dalam hantaran Facebook rasminya pada Selasa malam.
Sementara itu, Phumtham berkata, beliau turut membincangkan operasi IOT dengan Anwar bagi membantu memastikan keamanan berkekalan di sempadan Thai-Kemboja.
“Saya menegaskan semula bahawa Thailand mahu IOT, yang baru sahaja memulakan tugasnya, beroperasi mengikut prinsip dan rangka kerja yang dipersetujui pada mesyuarat luar biasa Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) pada 7 Ogos.
“Saya juga mencadangkan mesyuarat GBC akan datang, yang dijadualkan bulan depan, dapat meneliti semula operasi IOT sekiranya perlu,” katanya dalam hantaran Facebook rasminya pada Selasa.
Phumtham turut menyampaikan penghargaan kepada Anwar atas peranan Malaysia membantu perkembangan positif situasi semasa serta kesediaan Malaysia menyokong pendirian Bangkok bagi mencari penyelesaian aman melalui rundingan dua hala Thai-Kemboja.
Kemboja dan Thailand sebelum ini bersetuju menamatkan konflik bersenjata di sepanjang kawasan sempadan mereka dalam mesyuarat khas di Putrajaya pada 28 Julai lalu, selepas lima hari pertempuran sengit.
Gencatan senjata itu dicetuskan Malaysia dengan pemerhatian Amerika Syarikat dan China – yang turut menggesa pertikaian sempadan diselesaikan segera demi keselamatan serantau.
Pegawai Kemboja dan Thailand menghadiri mesyuarat GBC di Kuala Lumpur pada 7 Ogos lalu, diikuti mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Serantau melibatkan pegawai atasan tentera di Wilayah Trat, Thailand Sabtu lepas.
Kedua-dua negara kini berusaha mencapai gencatan senjata kukuh selepas konflik tercetus berhubung kawasan sempadan tidak bertanda antara mereka.
Sementara itu, Kementerian Pertahanan Kemboja pada Selasa memaklumkan keadaan keselamatan di kawasan sepanjang sempadan ketika ini stabil.
“Situasi di sepanjang kawasan barisan hadapan meliputi wilayah Preah Vihear, Oddar Meanchey dan Banteay Meanchey kekal tenang serta berada di bawah kawalan kukuh pasukan kami,” kata jurucakapnya, Maly Socheata.