
Beliau berkata, program itu amat diperlukan kerana merupakan intervensi strategik dirancang khas bagi membina generasi muda berdisiplin, berjiwa patriotik dan berdaya tahan.
“Golongan ini juga akan menjadi penghubung dan penyokong Angkatan Tentera Malaysia dengan menyemai semangat patriotisme dan memberi dorongan kepada masyarakat untuk bersama-sama mempertahankan negara.
“Kita mesti sedar pertahanan negara bukan tugas eksklusif anggota tentera, malah ia memerlukan sokongan dan pemahaman seluruh rakyat,” katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat.
Pada 6 Ogos lalu, Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) semasa membahas RMK13 mengulangi gesaan supaya kerajaan tidak meneruskan pelaksanaan PLKN 3.0 atas alasan dananya boleh membiayai inisiatif penting lain.
Beliau berkata, dana untuk program itu boleh disalurkan kepada program sedia ada di Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi.
Disember tahun lalu, Saifuddin mencadangkan PLKN 3.0 dibatalkan atas beberapa alasan, termasuk pelaksanaannya tiada objektif dan sasaran pencapaian jelas.
PLKN 3.0 siri pertama yang bermula Januari lalu disertai 116 pelatih sukarela dari seluruh negara yang didedahkan kepada pengetahuan dan kemahiran berdasarkan 30% modul kenegaraan serta 70% latihan asas ketenteraan.
Khaled berkata, PLKN 3.0 melengkapkan pembangunan modal insan bukan hanya memfokuskan akademik, tetapi juga sahsiah dan semangat kenegaraan.
“PLKN 3.0 juga menjadi pintu masuk kepada penyertaan lebih ramai rakyat dalam pasukan sukarela seperti askar wataniah, pasukan simpanan sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia.”