‘Gag order’ dalam kes Zara bukan untuk lindungi VIP, kata peguam

‘Gag order’ dalam kes Zara bukan untuk lindungi VIP, kata peguam

Peguam Hamid Ismail berkata undang-undang melarang mendedahkan prosiding mahkamah membabitkan pesalah bawah umur.

Peguam Hamid Ismail
Peguam Hamid Ismail berkata susulan perintah itu pihaknya meminta Jabatan Peguam Negara mengeluarkan kenyataan berhubung pendakwaan lima remaja tersebut. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perintah larangan bersuara atau ‘gag order’ dalam kes lima remaja yang didakwa menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina Mahathir bukan bertujuan melindungi orang kenamaan atau VVIP, kata peguam keluarga.

Peguam Hamid Ismail berkata perintah itu dibuat kerana ia membabitkan pesalah bawah umur dan bukan disebabkan VIP atau ada perkara yang disembunyikan, lapor Berita Harian.

“Banyak perkara yang tidak boleh didedahkan mengikut Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak, apa saja tidak boleh didedahkan termasuk sepanjang siasatan atau prosiding di mahkamah.

“Ia bukan sebab VIP atau ada perkara yang disembunyikan, ia disebabkan undang-undang yang melarang,” katanya yang dipetik sebagai berkata.

Susulan perintah tersebut, Hamid meminta Jabatan Peguam Negara (AGC) mengeluarkan kenyataan berhubung pendakwaan lima remaja.

“Kami tidak boleh bercakap apa yang berlaku di dalam (mahkamah) kerana ada perintah ‘gag’. Jadi, kami mohon maaf.

“Jadi kita berharap pihak AGC dapat memberikan kenyataan berhubung perkara ini,” katanya.

Terdahulu, lima remaja itu didakwa di Mahkamah Kanak-kanak di Kota Kinabalu, Sabah mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Mereka didakwa dalam mencapai niat bersama, menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina, 13, yang mana perkataan tersebut didengari oleh mangsa yang mungkin menyebabkan pelajar itu terganggu dengan perkataan tersebut.

Kelima-lima pelajar didakwa melakukan perbuatan itu di blok Asrama Rabiatul Adawiyah Dorm A-3-6, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha Limauan WDT 15, Papar antara jam 10 malam dan 11 malam, pada 15 Julai lepas.

Kes disebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus, dalam prosiding yang dijalankan secara tertutup, lapor Bernama.

Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri berhampiran asrama sekolah itu pada pagi 16 Julai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.