Enggan khianat mandat rakyat, Shahelmey tolak Langkah Kinabalu

Enggan khianat mandat rakyat, Shahelmey tolak Langkah Kinabalu

Adun Tanjung Keramat berkata cubaan menjatuhkan kerajaan Hajiji Noor itu tidak demokratik dan bercanggah dengan keputusan PRN 2020.

Shahelmey Yahya
Adun Tanjung Keramat Shahelmey Yahya digantung enam tahun sebagai ahli Umno kerana enggan bersama dalam Langkah Kinabalu.
KUALA LUMPUR:
Adun Tanjung Keramat Shahelmey Yahya mendedahkan beliau enggan bersekongkol dalam cubaan menjatuhkan pentadbiran Hajiji Noor menerusi ‘Langkah Kinabalu’ dua tahun lalu kerana tidak mahu mengkhianati mandat rakyat.

Shahelmey, yang digantung parti selama enam tahun kerana ‘ingkar’ arahan Umno Sabah dalam episod itu, berkata keputusan rakyat menolak Warisan pada PRN 2020 seharusnya dihormati.

Menurutnya, kumpulan pro-ketua Umno Sabah ketika itu, Bung Moktar Radin, mahu bergabung dengan Warisan diketuai Shafie Apdal untuk mengambil alih pentadbiran negeri – langkah yang jelas bertentangan dengan mandat rakyat.

“Tiba-tiba kita mahu mengubah kerajaan yang telah terbentuk melalui mandat rakyat, untuk kembali kepada Warisan dengan cara tidak demokratik.

“Bagi saya, ia satu pengkhianatan terhadap undi yang rakyat berikan kepada saya,” katanya ketika ditemui FMT di Parlimen.

Shahelmey juga mendakwa Bung Moktar tidak membincangkan perkara itu dengan semua wakil rakyat Umno sebelum melancarkan Langkah Kinabalu pada awal Januari 2023.

“Saya tidak dibawa berbincang dalam gerakan itu, tetapi prinsip saya jelas – tidak mahu mengkhianati mandat rakyat untuk menukar kerajaan,” katanya.

Shahelmey bersama lima wakil rakyat Umno lain ketika itu memilih menyokong pentadbiran Hajiji.

Percaturan politik Bung Moktar dan Shafie bagaimanapun gagal selepas tidak mendapat sokongan mencukupi. Hajiji, yang dilantik sebagai ketua menteri pada September 2020, terus disokong wakil rakyat Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH).

Bung Moktar kemudian digugurkan daripada jawatan timbalan ketua menteri dan tempatnya digantikan oleh Shahelmey.

Shahelmey berkata kegagalan Langkah Kinabalu ada hikmahnya apabila kerajaan perpaduan diketuai Hajiji menjadi lebih kukuh, sekali gus mewujudkan kestabilan politik.

“Dengan kestabilan yang ada, kita boleh terus melaksanakan pelan Sabah Maju Jaya,” katanya yang juga Menteri Kerja Raya Sabah.

Minggu lalu, Adun Kunak, Norazlinah Arif, turut dilaporkan FMT menyifatkan Langkah Kinabalu sebagai pengkhianatan terbesar kepada rakyat Sabah dan mendakwa gerakan itu turut membabitkan Shafie.

Bagaimanapun, Shafie menafikan dakwaan bekas ketua Wanita Warisan itu dengan menjelaskan gerakan berkenaan hanya membabitkan Hajiji dan Bung Moktar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.