
Dalam keterangannya ketika prosiding inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Dr V Navin Esavik berkata, beliau menggunakan pengimbas seluruh badan itu untuk memeriksa seorang banduan yang disyaki mengalami keretakan tulang dan kecederaan tisu lembut.
Pemeriksaan itu dijalankan susulan operasi pemindahan lebih 100 banduan oleh kira-kira 60 warden penjara pada 17 Jan lepas.
Navin berkata, beliau mengubah suai pengimbas badan itu dengan kebenaran pegawai atasan untuk mengesan keretakan kecil.
Tambahnya, penggunaan peralatan itu untuk tujuan sedemikian merupakan amalan lazim.
Ketika disoal oleh peguam Shashi Devan, yang mewakili keluarga Gan Chin Eng, Navin mengaku beliau tidak mempunyai sijil mahupun latihan yang diperlukan untuk mengendalikan pengimbas badan tersebut.
“Kamu sepatutnya hantar banduan yang disyaki alami keretakan tulang ke hospital untuk mendapatkan bacaan konklusif mengenai tahap kecederaan mereka.
“Sebaliknya, kamu guna peralatan yang salah untuk melakukannya,” kata Shashi.
Wakil Majlis Peguam S Kavitha mendakwa Navin melanggar Sumpah Hippocrates profesion perubatan, khususnya prinsip tidak mendatangkan mudarat, apabila gagal campur tangan untuk menjamin keselamatan banduan semasa kejadian itu.
Navin bagaimanapun mempertahankan tindakannya itu atas faktor kebimbangan terhadap keselamatan dirinya.
“Saya tidak akan cederakan diri sendiri untuk halang perkara ini berlaku. Itu bukan tugas saya,” katanya, sambil menafikan dakwaan beliau bimbang akan diserang jika campur tangan.
Inkuiri awam yang dipengerusikan oleh Pengerusi Suhakam Hishamudin Yunus dan Pesuruhjaya Farah Nini Dusuki itu menyiasat dakwaan berlaku serangan semasa operasi pemindahan banduan dari Dewan B ke Blok E penjara tersebut.
Inkuiri bersambung esok.