
Lebih manis penampilan sulung pemain pertahanan setinggi 1.94m itu menyaksikannya disenaraikan dalam skuad utama untuk perlawanan pembukaan menentang GD Chaves. Paarveen beraksi selama 45 minit dalam perlawanan yang berkesudahan seri tanpa jaringan.
Menurut bapanya, Shanmugesh Waran, anaknya menyifatkan pengalaman 45 minit di atas padang itu sebagai ‘sesuatu yang akan terpahat selamanya dalam ingatan’
“Ia benar-benar mimpi jadi nyata buat dirinya,” kata Shanmugesh kepada FMT.
Permulaan karier

Karier Paarveen bermula pada peringkat remaja apabila dia berjaya menempatkan diri bersama Perth Glory, sebuah kelab utama di bandaraya Australia Barat pada 2018.
Ketika bersama Perth Glory, beliau turut dipilih mewakili pasukan negeri Australia Barat malah pernah dilantik sebagai kapten pada 2022.
Setahun kemudian, peluang latihan bersama Lion City Sailors di Singapura membuka jalan buatnya menyertai skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) bawah 17 tahun (B-17)
Menurut Shanmugesh, pencari bakat JDT mula mengesan kemampuan anaknya ketika pasukan itu mengadakan aksi persahabatan di Singapura.

“Mereka menawarkannya kontrak bawah 17 tahun diikuti kontrak penuh bersama skuad B-23,” katanya. Paarveen menerima cabaran itu.
Bagaimanapun, ketika JDT mahu memperbaharui kontraknya hujung tahun lalu, Paarveen menolak kerana merasakan peluangnya merealisasikan impian ke Eropah lebih cerah jika kembali beraksi di Perth.
“Keputusan itu memang sukar tetapi dia begitu bersemangat untuk kembali ke Australia. Gaya permainan di sini (Australia) lebih sesuai dengan corak bola sepak Eropah,” jelas Shanmugesh.
Kebetulan keluarganya sudah menetap di Australia sejak 2009. Shanmugesh, 46, yang bekerja sebagai jurutera tenaga, berpindah ke Perth bersama keluarga tetapi masih mengekalkan kerakyatan Malaysia.
Sekembali ke Perth dari Johor, Paarveen menyertai Olympic Kingsway, sebuah lagi kelab utama di Australia.
“Ketika itulah pada Februari lalu, pencari bakat dari Portugal mengesannya. Mereka menawarkan percubaan dua minggu di FC Vizela. Laporan yang diberikan cukup mengagumkan pihak kelab dan mereka mahu dia bersama mereka.
“Namun dia hanya dapat menandatangani kontrak pada 1 Julai selepas genap 18 tahun,” kata Shanmugesh lagi.
Bukan bakat semula jadi, tapi kerja keras
Shanmugesh secara jujur mengakui anaknya bukanlah pemain berbakat luar biasa sejak kecil.
“Kejayaannya ini hasil kerja keras semata-mata, sokongan padu keluarga dan semangat tidak pernah luntur untuk bermain bola sepak profesional di Eropah.

“Terus terang, saya dan isteri banyak menyokong dari segi kewangan dan dorongan. Dia menunjukkan kesungguhan memperbaiki diri dalam keadaan sukar. Bukan mudah, tetapi dia tidak pernah putus asa, begitu juga kami,” katanya.
Beliau berkata, mereka menghantar Paarveen ke beberapa akademi pembangunan bola sepak ternama seperti TFD Ben O’Neil dan 2 Half Football Development yang banyak membantu meningkatkan kemahiran.
“Kami yakin suatu hari nanti dia akan mencapai impiannya,” tambahnya.
Dalam mesej ringkas, Paarveen berkata beliau sentiasa menjadikan pemain Perancis Raphael Varane, yang pernah beraksi untuk Manchester United dan Real Madrid, sebagai idolanya.
“Saya anggap kejayaan setakat ini hasil kerja keras, pengorbanan ibu bapa, dan kekuatan mental saya sendiri,” katanya.
Bagi Paarveen, penampilan sulungnya itu umpama mimpi yang menjadi kenyataan. “Saya cuba tidak terlalu memikirkan apa-apa, sebaliknya hanya menikmati saat itu,” ujarnya.
“Pengurus pasukan berpuas hati dengan prestasi kami, tetapi kami perlu berusaha lebih keras untuk memburu kejuaraan. Ini baru permulaan buat saya, masih jauh lagi perjalanan ini,” tambahnya.