2 dituduh perdagang kembar 14 tahun jadi mangsa eksploitasi seks

2 dituduh perdagang kembar 14 tahun jadi mangsa eksploitasi seks

Muhammad Mustaqim Mohd Zuber dan Syazwani Mohd Hashim bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

Muhammad Mustaqim Mohd Zuber, 25, dan Syazwani Mohd Hashim, 26, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seri Manjung hari ini terhadap dua pertuduhan memperdagangkan kembar perempuan berusia 14 tahun bagi tujuan eksploitasi seks. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Dua rakan didakwa di Mahkamah Sesyen Seri Manjung hari ini terhadap dua pertuduhan memperdagangkan kembar perempuan berusia 14 tahun bagi tujuan eksploitasi seks sejak Mei lalu.

Bagaimanapun kedua-dua tertuduh, Muhammad Mustaqim Mohd Zuber, 25, dan Syazwani Mohd Hashim, 26, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azizah Ahmad, menurut Sinar Harian.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama memperdagangkan dua mangsa yang masih kanak-kanak bagi maksud eksploitasi seks di sebuah pangsapuri di Teluk Muruh, Lumut antara 12 Mei hingga 15 Jun lalu.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara tidak kurang lima tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya M Esther Jacyntha mengendalikan pendakwaan manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan namun memohon ia ditetapkan antara RM15,000 hingga RM20,000 jika dibenarkan.

Pendakwaan turut mencadangkan syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu saksi sehingga kes selesai.

Syazwani dalam rayuannya memohon jumlah yang rendah kerana keadaan keluarga yang susah manakala Muhammad Mustaqim pula memberi alasan hanya berpendapatan daripada kerja membaiki telefon bimbit.

Mahkamah membenarkan masing-masing dijamin RM7,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berdekatan sekali sebulan.

Azizah turut mengingatkan kedua-dua tertuduh supaya tidak mengganggu semua saksi pendakwaan khususnya mangsa sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 22 September.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.