Syarikat menang hak semak semula kes tanah RM17 juta

Syarikat menang hak semak semula kes tanah RM17 juta

Mahkamah Persekutuan memutuskan Setiakon Engineering Sdn Bhd melepasi ambang Aturan 137.

istana kehakiman Federal Court
Setiakon Engineering Sdn Bhd memenangi permohonan semakan semula kes pertikaian tanah bernilai RM17 juta selepas Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonannya di bawah Kaedah 137, Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.
PUTRAJAYA:
Sebuah syarikat yang membeli sebidang tanah bernilai RM17 juta di Mukim Batu, Kuala Lumpur, 10 tahun lalu, memenangi hak menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan tahun lalu atas alasan berlaku ketidakadilan prosedur.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan Hakim Abu Bakar Jais hari ini sebulat suara membenarkan permohonan semakan Setiakon Engineering Sdn Bhd di bawah Kaedah 137, Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

Abu Bakar berkata syarikat itu berjaya melepasi ambang yang ditetapkan di bawah kaedah tersebut.

Hakim lain yang turut bersidang ialah Hakim Besar Malaya Hasnah Hashim serta Zabariah Yusof, Ahmad Terrirudin Salleh dan Lee Swee Seng.

Keputusan hari ini mengetepikan penghakiman majoriti 3-1 Mahkamah Persekutuan tahun lalu yang memihak kepada Mak Yan Tai dan abangnya, Mak Kum Phoi.

Panel baharu kini akan mendengar semula rayuan itu.

Peguam Cyrus Das yang mewakili Setiakon berhujah syarikat itu dinafikan hak mengemukakan bukti balas kerana isu penipuan dibangkitkan buat kali pertama di Mahkamah Persekutuan.

Peguam Winston PC Ng dan John Foo membantu Das, manakala Krishna Dallumah mewakili adik-beradik itu.

Pertikaian bermula apabila tanah seluas 0.87 hektar itu pada asalnya didaftarkan atas nama ibu mereka, Wong Soo, sebagai cagaran bagi pinjaman yang diambil oleh Lim Moy.

Pada 2014, Lim memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan deklarasi beliau adalah pemilik sah tanah itu dan ia sepatutnya dipindahkan semula kepadanya daripada Wong memandangkan pinjaman telah dilangsaikan sepenuhnya.

Penghakiman ingkar diberikan kepada Lim, menyebabkan tanah itu didaftarkan atas namanya.

Beliau kemudian menjual tanah itu kepada Paragon Capacity Sdn Bhd dengan harga RM15 juta. Paragon seterusnya menjualnya kepada Setiakon dengan harga RM17 juta pada 2015.

Adik-beradik itu berjaya mengetepikan penghakiman ingkar pada November 2017 selepas Lim dan peguamnya tidak hadir untuk mencabar kes berkenaan.

Mereka kemudiannya memfailkan saman baharu terhadap Lim, Paragon dan Setiakon pada 2019. Hanya Setiakon mempertahankan tuntutan itu.

Mahkamah Tinggi memutuskan memihak kepada Setiakon sebagai pembeli bona fide berikutnya di bawah Seksyen 340(3) Kanun Tanah Negara, namun keputusan itu dibatalkan Mahkamah Rayuan.

Setiakon kemudiannya mendapat kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan, namun rayuan itu ditolak, sehingga membawa kepada permohonan semakan semula.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.