
Suhakam dalam satu kenyataan berkata, suspek yang kesemuanya berumur bawah 18 tahun berhak mendapat perlindungan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).
“Identiti mereka tidak boleh didedahkan secara langsung atau tidak langsung.
“Nama, gambar, sekolah atau sebarang maklumat yang boleh membawa kepada pengenalan diri mereka tidak boleh didedahkan kepada umum,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, suspek akan didakwa di Mahkamah Kanak-kanak yang tertutup kepada orang ramai.
Ia turut menggesa platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok agar mengemaskini dasar dalaman bagi mengenal pasti dan memadam apa- apa kandungan yang melanggar Seksyen 15 Akta 611, yang mengenal pasti kanak-kanak berpotensi itu.
Katanya, dasar sedemikian diperlukan untuk mengelakkan sebarang mudarat terhadap kanak-kanak terbabit.
“Untuk mengambil tindakan menurunkan kandungan hanya selepas menerima permohonan mungkin membolehkan bahan yang menyalahi undang-undang dan berbahaya tersebar secara meluas, sekali gus menggagalkan tujuan perlindungan undang-undang,” katanya.
Jabatan Peguam Negara semalam berkata beberapa suspek yang dipercayai membuli Zara akan didakwa di mahkamah. Peguam Negara Dusuki Mokhtar kemudian berkata bahawa lima suspek di bawah umur 18 tahun akan didakwa.
Zara, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu pada 17 Julai, selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolah agama di Papar pada 4 pagi, 16 Julai.