Suami isteri ditahan disyaki dera anak asuhan

Suami isteri ditahan disyaki dera anak asuhan

Polis berkas pasangan suami isteri dipercayai sebabkan kecederaan pada budak lelaki 2 tahun.

handcuff
Sepasang suami isteri diberkas di sebuah pangsapuri di Seksyen 16, Shah Alam, semalam susulan anak asuhan mereka mempunyai kesan lebam di muka.
PETALING JAYA:
Sepasang suami isteri ditahan kerana disyaki mendera anak asuhan mereka berusia dua tahun sehingga cedera di Seksyen 16, Shah Alam.

Ketua Polis Shah Alam Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada ibu mangsa pada 12 tengah malam, 15 Ogos lepas.

Katanya, mangsa dihantar ke rumah suspek kira-kira 10 pagi pada hari sebelumnya, namun apabila pulang ke rumah pada malam hari yang sama, didapati budak lelaki itu mempunyai kesan lebam pada muka.

“Ibu kanak-kanak itu bertanyakan kepada pengasuh (isteri) punca anaknya mempunyai kesan lebam pada muka. Pada mulanya, pengasuh memberitahu anak pengasuh bergaduh dengan kanak-kanak itu.

“Namun ibu kanak-kanak itu tidak mempercayai penerangan yang diberikan dan mahu membuat laporan polis supaya siasatan dapat dijalankan,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.

Mohd Iqbal berkata, kanak-kanak itu mendapatkan rawatan di Hospital Shah Alam, di mana pegawai perubatan mengesahkan kecederaannya.

Susulan itu, polis memberkas pasangan suami isteri itu, masing-masing berusia 40 dan 37 tahun, di sebuah pangsapuri di Seksyen 16 pada 11.22 malam semalam.

Pasangan suami isteri itu direman tiga hari mulai hari ini, kata Mohd Iqbal.

Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Khamsia Hung Mei Shuang di talian 016-8119 560.

Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.