Pesara rugi lebih RM90,000 angkara pelaburan tak wujud

Pesara rugi lebih RM90,000 angkara pelaburan tak wujud

Mangsa menyedari ditipu selepas gagal mengeluarkan wang daripada akaun pelaburan berkenaan.

scammers
Pada 14 Ogos lalu mangsa itu melihat iklan pelaburan di Telegram dan ikut arahan diberikan suspek dengan mendaftar di satu laman web pelaburan.
KUALA TERENGGANU:
Seorang pesara kerajaan kerugian RM94,463 selepas diperdaya sindiket pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Kuala Terengganu, Azli Mohd Noor, berkata pada 14 Ogos lalu lelaki berusia 59 tahun itu melihat iklan pelaburan di Telegram.

Beliau berkata, mangsa mengikuti arahan diberikan oleh suspek dengan mendaftar di satu laman web pelaburan menggunakan nama KAS Investment Funds Bhd.

“Mangsa yang berasal dari Batu Rakit di Kuala Nerus membuat pelaburan awal sebanyak RM200 dan didapati jumlah keuntungan yang tersimpan dalam akaun pelaburan miliknya meningkat dengan mendadak.

“Mangsa kemudiannya membuat tambahan pelaburan berjumlah RM94,263 kepada enam akaun berbeza bermula 14 hingga 17 Ogos dengan harapan mendapatkan keuntungan lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan.

Azli berkata, mangsa menyedari ditipu selepas gagal mengeluarkan wang daripada akaun pelaburan berkenaan.

“Mangsa membuat laporan polis pada 8.17 malam tadi setelah kehilangan wang pampasan pencen sebanyak RM94,463 dalam sekelip mata. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.