Perhilitan serbu premis pamer hiasan haiwan dilindungi

Perhilitan serbu premis pamer hiasan haiwan dilindungi

Seorang lelaki turut ditahan kerana gagal mengemukakan dokumentasi, permit dan lesen.

Antara barang hiasan disyaki menggunakan bahagian badan hidupan liar yang dirampas oleh Perhilitan dalam serbuan baru-baru ini. (Gambar Perhilitan)
PETALING JAYA:
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menyerbu sebuah premis mempamerkan barangan hiasan diperbuat menggunakan bahagian badan haiwan liar dilindungi.

Premis di sebuah pusat beli-belah di sini, diserbu Sabtu lalu dalam Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) bersama Cawangan Risik Batalion 19 Pasukan Gerakan Am (PGA) pada 3.30 petang.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Perhilitan Abdul Kadir Abu Hashim, mereka menahan seorang lelaki tempatan berusia 64 tahun selepas gagal mengemukakan dokumentasi, permit dan lesen berkaitan bahagian hidupan liar di premis terbabit.

“Pasukan merampas seutas rantai, dua unit perhiasan patung dan masing-masing tiga unit hulu parang serta ukiran disyaki mengandungi bahagian hidupan liar.

“Turut dirampas satu taring, dua tanduk dan dua unit ‘carrier’ dihiasi bahagian hidupan liar,” katanya dalam kenyataan hari ini, menurut Harian Metro.

Katanya, semua barangan yang disita itu dianggarkan bernilai RM89,000.

“Lelaki yang ditahan itu dibawa ke Balai Polis Petaling Jaya untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010. Kita ingin mengingatkan bahawa mana-mana individu terbabit dalam sebarang aktiviti pemburuan haram, pemilikan, pemindahan atau pemerdagangan hidupan liar secara tidak sah adalah satu kesalahan serius,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.