Pakar sokong data sensitif diurus LLM tempatan tapi perlu kawalan ketat

Pakar sokong data sensitif diurus LLM tempatan tapi perlu kawalan ketat

Siraj Jalil dari MCCA berkata pengunaan LLM tempatan seperti ILMU perlu disusuli tadbir urus ketat untuk elak risiko ketirisan data.

tech-ai-envato-elements
‘Otak digital negara’ perlu dalam kerangka tadbir urus menyeluruh untuk pastikan keselamatan, menurut Siraj Jalil. (Gambar Envato Elements)
PETALING JAYA:
Cadangan supaya dokumen sensitif kerajaan diuruskan melalui model bahasa besar (LLM) tempatan perlu dilengkapi dengan tadbir urus menyeluruh merangkumi aspek keselamatan, teknikal, perlindungan privasi dan dasar strategik yang jelas.
Siraj Jalil.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil, berkata pihaknya menyokong penggunaan ILMU bagi tujuan itu memandangkan LLM pertama Malaysia tersebut mampu mengurangkan kebergantungan kepada teknologi luar yang boleh menjejaskan kedaulatan maklumat negara.

Namun, beliau menekankan langkah itu mesti hadir bersama tadbir urus ketat dan berwibawa bagi mengulasi kesilapan lalu, menyaksikan teknologi tanpa kawalan rapi membuka ruang eksploitasi atau ketirisan data.

“ILMU hanya akan benar-benar berfungsi sebagai ‘otak digital negara’ sekiranya berada dalam kerangka tadbir urus menyeluruh yang merangkumi aspek keselamatan, teknikal, perlindungan privasi dan dasar strategik yang jelas,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan bekas pengarah ekonomi di Pejabat Perdana Menteri, Shahril Hamdan, yang menegaskan ada keperluan data sensitif kerajaan dan rakyat diuruskan melalui LLM tempatan bagi menjaga kedaulatan negara.

Bercakap dalam program audio siar Keluar Sekejap baru-baru ini, Shahril berkata kebergantungan kepada LLM luar juga berisiko penggunaannya disekat pada masa depan memandangkan keadaan geopolitik yang tidak menentu.

Minggu lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim melancarkan ILMU, iaitu singkatan bagi Intelek Luhur Malaysia Untukmu, yang boleh memproses dan menjana teks, suara serta imej, selain disesuaikan untuk bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan dialek tempatan.

Model AI multimodal pertama negara itu dibangunkan oleh YTL AI Labs dengan kerjasama Universiti Malaya.

Mengulas lanjut, Siraj berkata dalam konteks ini, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) perlu berperanan sebagai pengawal utama keselamatan siber negara berlandaskan Akta Keselamatan Siber (Akta 854), khususnya apabila melibatkan infrastruktur maklumat kritikal negara (NCII).

Menurutnya, CyberSecurity Malaysia (CSM) pula berperanan sebagai pelaksana teknikal yang memastikan sistem diuji secara berterusan dan kekal selamat daripada sebarang bentuk pencerobohan mahupun eksploitasi dalaman melalui audit keselamatan siber berkala.

“Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) perlu bertindak sebagai pelindung hak privasi rakyat melalui Akta Perlindungan Data Peribadi yang diperbaharui pada 2024.

“Sementara itu, Jabatan Digital Negara (JDN) memainkan peranan sebagai penyelaras utama yang memastikan ILMU bergerak seiring dengan dasar pendigitalan negara serta mampu mewujudkan keyakinan awam terhadap penggunaannya,” katanya.

Fong Choong Fook.

Pakar keselamatan siber, Fong Choong Fook, turut menyifatkan penggunaan LLM tempatan sebagai langkah mempunyai banyak logik dan memberi manfaat jangka panjang kepada usaha negara untuk berdikari serta mengawal privasi data.

“Namun, kita memerlukan kawalan yang lebih ketat, sekurang-kurangnya bermula dengan rangka kerja AI yang saya fikir sedang diusahakan oleh Pejabat AI Kebangsaan (NAIO).

“Malaysia juga perlu melihat kepada aspek keselamatan siber dan rangka kerja perundangan yang menjadi asas bagi melindungi usaha membangunkan serta mengekalkan LLM sendiri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.