Ketua Pemuda Bersatu akan didakwa esok berkait ucapan himpunan solidariti

Ketua Pemuda Bersatu akan didakwa esok berkait ucapan himpunan solidariti

Hilman Idham dijangka didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 9 pagi.

hilman
Dalam ucapannya ketika perhimpunan pada 29 Julai, Ketua Pemuda Bersatu Hilman Idham membidas penahanan beberapa ahli parti, disyaki berkaitan dengan himpunan ‘Turun Anwar’ pada 26 Julai.
PETALING JAYA:
Ketua Pemuda Bersatu Hilman Idham akan didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur esok berhubung ucapannya ketika perhimpunan di luar IPD Dang Wangi bulan lepas.

Menurut ketua penerangan sayap Harris Idaham Rashid, Hilman akan dituduh pada 9 pagi di bawah Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang boleh mendatangkan khianat awam.

“(Pemuda Bersatu) mengecam keras tindakan ini, jelas kelihatan bahawa tindakan ini adalah intimidasi politik yang sengaja dibuat untuk membisukan suara pembangkang,” katanya dalam kenyataan.

Menurut poster yang tular di media sosial, satu himpunan solidariti untuk Hilman dijangka diadakan pada 8 pagi esok di luar kompleks mahkamah Kuala Lumpur.

Dalam ucapannya ketika perhimpunan pada 29 Julai, Hilman membidas penahanan beberapa ahli parti, disyaki berkaitan dengan himpunan ‘Turun Anwar’ pada 26 Julai.

Menyifatkan penahanan itu sebagai tidak perlu, Hilman berkata, polis hanya perlu memanggil mereka untuk diambil keterangan jika diperlukan.

Beliau juga berkata, semakin ramai ditahan berhubung himpunan tersebut, ‘semakin cepat kerajaan akan tumbang’.

Terdahulu, polis menahan pemimpin Bersatu, Badrul Hisham Shaharin dan Ketua Pemuda PAS Sijangkang Ikhwan Syaffiq pada 28 Julai.

Keesokan harinya, Setiausaha Kerja Pemuda Bersatu Perak Furqan Hakimi dan ahli parti Syafiq Aziz turut ditahan.

Keempat-empat mereka dibebaskan sehari selepas ditahan, susulan permohonan reman ditolak.

Badrul sebelum ini berkata, beliau disiasat di bawah Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia, Kanun Keseksaan, dan Akta Kesalahan-kesalahan Kecil.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.