Kerajaan buka semula kuota pekerja asing bagi sektor, subsektor terpilih

Kerajaan buka semula kuota pekerja asing bagi sektor, subsektor terpilih

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, permohonan akan dibuka semula ikut kes, tertakluk pada syor kementerian.

pekerja asing
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, amalan benar ‘sesiapa sahaja’ mohon kuota pekerja asing kini dihentikan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan bersetuju membuka semula permohonan kuota pekerja asing namun terhad kepada sektor dan subsektor tertentu sahaja, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Selepas mesyuarat jawatankuasa bersama antara kementeriannya dengan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma), Saifuddin berkata, permohonan akan dibuka semula mengikut kes, membabitkan tiga sektor dan 10 subsektor, tertakluk pada syor daripada kementerian yang berkaitan.

“Bagi sektor pertanian, perladangan dan perlombongan, semua subsektor dibenarkan,” katanya pada sidang media di M Resort & Hotel, Bukit Kiara, hari ini.

Tambahnya, bagi sektor perkhidmatan pula, subsektor yang dibenarkan membuat permohonan merangkumi pemborong dan peruncit, penggudangan, kawalan keselamatan, barangan logam dan lusuh, restoran, dobi, pengendalian kargo dan perkhidmatan pembersihan.

Sementara itu, bagi sektor pembinaan, permohonan hanya dibuka untuk projek-projek kerajaan, dan bagi sektor perkilangan, ia hanya dibenarkan untuk perniagaan melibatkan pelaburan baharu yang diluluskan bawah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida).

Saifuddin turut menegaskan bahawa amalan membenarkan permohonan kuota oleh ‘sesiapa sahaja’ kini dihentikan.

“Sebelum ini, majikan boleh memohon, ejen pun boleh memohon. Sekarang tidak lagi. Untuk tiga sektor dan 10 subsektor ini, hanya agensi kawal selia berkenaan yang boleh mengangkat permohonan,” katanya.

Jelasnya, penggiat industri dalam sektor dan subsektor yang dibenarkan perlu mengemukakan permohonan menerusi kementerian masing-masing untuk disemak oleh jawatankuasa teknikal pengurusan pekerja asing.

Jawatankuasa itu, katanya, dianggotai oleh timbalan-timbalan ketua setiausaha kementerian yang terlibat.

Beliau memberikan contoh, pengusaha ladang perlu memohon melalui Kementerian Perladangan dan Komoditi, pengusaha pertanian melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, manakala pengusaha restoran melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

“Jawatankuasa (teknikal) ini akan melakukan verifikasi sebelum mengangkat (permohonan) untuk dimuktamadkan pada peringkat mesyuarat jawatankuasa bersama saya dengan (Menteri Sumber Manusia) Steven (Sim),” katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin turut mengulas mengenai penetapan had siling pekerja asing bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Menurutnya, Kementerian Ekonomi sebelum ini telah menetapkan had pekerja asing di negara ini pada kadar 10% bawah RMK13, berbanding 15% ketika ini.

Beliau berkata, mesyuarat hari ini bersetuju agar kerajaan kekal menggunakan had 15% sebagai panduan hingga 31 Dis ini.

“Mesyuarat hari ini bersetuju supaya (had) siling sektoral pekerja asing bagi 2025 ditetapkan pada 2,467,756 orang,” katanya menambah, jawatankuasa bersama akan berusaha mencapai sasaran 10% menjelang suku pertama atau kedua 2026.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.