
Beliau berkata, sebanyak 11.1% daripada penduduk Kelantan pada tahun lalu terdiri umur 60 tahun ke atas dan angka itu dijangka meningkat 15% menjelang 2032.
“Fenomena ini bukan sekadar angka tetapi membawa kesan besar kepada ekonomi, tenaga kerja, perancangan sosial, dan sistem kesihatan selain penyusutan tenaga kerja muda serta peningkatan terhadap penjagaan warga emas.
“Lebih membimbangkan, masih ramai warga emas yang hidup dalam kemiskinan khususnya yang tinggal bersendirian di luar bandar tanpa sokongan keluarga rapat,” katanya dalam ucapan sempena Sambutan Hari Penduduk Sedunia Peringkat Negeri Kelantan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
Teks ucapan tersebut dibacakan Pengarah LPPKN negeri Haslinda Hassan.
Abdul Shukur berkata, berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) 2024, Kelantan dianggarkan mempunyai 1.9 juta penduduk dan kini sedang melalui peralihan demografi yang membawa implikasi besar terhadap masa depannya.
Beliau berkata, antara petunjuk utama perubahan itu ialah kadar kesuburan jumlah (KKJ) di Kelantan menurun daripada 3.6 anak pada 2014 kepada 2.7 anak, 2023.
“Walaupun angka ini masih melepasi paras penggantian penduduk 2.1 anak, trend ini jelas memberi isyarat Kelantan sedang menuju era penuaan penduduk. Antara punca penurunan ini termasuk kecenderungan berkahwin lewat, kos sara hidup semakin tinggi, perubahan gaya hidup, dan memilih mempunyai keluarga bersaiz kecil,” katanya.
Abdul Shukur berkata, perkahwinan di Kelantan juga menurun daripada 22,347 pada 2021 kepada 16,925 bagi 2023, manakala umur purata perkahwinan pertama meningkat daripada 28.2 tahun pada 2016 kepada 29.9 tahun pada 2023 bagi lelaki, manakala wanita daripada 28.2 tahun kepada 30.6 tahun.
“LPPKN mendapati faktor kewangan, ketiadaan calon sesuai dan keutamaan membina kerjaya antara sebab utama perkahwinan ditangguhkan dan apabila usia berkahwin meningkat, tempoh reproduktif menjadi singkat sekali gus memberi kesan langsung kepada bilangan kelahiran pada masa hadapan.
“Justeru, input penting ini wajar dijadikan panduan dalam merangka dasar, intervensi dan pelan tindakan negeri yang inklusif menyentuh segenap keperluan penduduk,” katanya.
Memetik laporan media pada 31 Julai lalu, Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata sesebuah negeri ditakrifkan menua apabila peratusan penduduk berusia 65 tahun dan ke atas melebihi tujuh peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk.