Kecuali SST untuk negara lain bergantung rundingan, kata Tengku Zafrul

Kecuali SST untuk negara lain bergantung rundingan, kata Tengku Zafrul

Tengku Zafrul Aziz berkata pertimbangan kecuali cukai untuk negara selain AS juga bergantung permintaan serta tawaran balas.

tengku zafrul
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, sebarang keputusan berkaitan pengecualian cukai jualan terhadap barangan import mesti patuh peraturan WTO. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ke atas produk pertanian dari Amerika Syarikat (AS) ialah hasil rundingan dua hala yang dimuktamadkan demi kepentingan bersama.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Aziz, berkata langkah itu tidak bermakna negara lain akan secara automatik menerima pengecualian sama.

“Oleh itu, sebarang pertimbangan pengecualian cukai kepada negara lain adalah tertakluk kepada rundingan berdasarkan permintaan serta tawaran balas daripada negara berkaitan dengan syarat ia memberikan manfaat dan keuntungan kepada Malaysia,” katanya di Dewan Rakyat.

Tengku Zafrul menjawab soalan Radzi Jidin (PN-Putrajaya) berhubung keputusan rundingan tarif dengan AS.

Radzi turut membangkitkan kesan terhadap ahli Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) jika Malaysia memberi keistimewaan kepada sesebuah negara kerana anggota lain juga berhak menuntut layanan sama.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata sebarang keputusan berkaitan pengecualian cukai jualan terhadap barangan import mesti mematuhi peraturan WTO.

Katanya, bukan hanya Malaysia, negara lain juga tidak terkecuali berdepan cabaran apabila AS memperkenalkan langkah perdagangan baharu yang dilihat mencipta satu ‘order’ perdagangan dunia berasaskan penjajaran geopolitik dan geoekonomi.

Menurutnya, banyak negara terpaksa mengetepikan prinsip atas dagangan pelbagai hala WTO demi melindungi kepentingan ekonomi dan politik masing-masing.

“Miti (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri) akan mematuhi pelbagai peraturan perdagangan antarabangsa yang telah berkuat kuasa. Jadi dalam hal ini, kita akan kaji perkara tersebut dengan lebih terperinci dan akan berbincang dengan kementerian berkenaan.

“Walau apapun, kita mesti pegang pada prinsip perdagangan adil dan saksama dan tidak (amal)diskriminasi termasuklah (terhadap) negara-negara jiran kita, dan terutamanya negara-negara yang ada Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan kita,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.