
Walaupun Navin pada awalnya mendakwa Gan telah dihantar ke hospital dalam tempoh 15 minit, selain menafikan bertemu pengarah penjara, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta kenyataan saksi dikemukakan semasa siasatan inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menunjukkan sebaliknya.
“Anda leka kerana terlalu sibuk berjumpa dengan pengarah penjara. Adakah anda tidak setuju bahawa ini adalah satu bentuk kecuaian?” soal Pesuruhjaya Suhakam Farah Nini Dusuki.
Navin tidak menjawab soalan tersebut.
Pengerusi Suhakam Hishamudin Yunus, yang turut mempengerusikan panel bersama Farah, mencadangkan keadaan Gan mungkin merosot dengan cepat ketika dibawa ke hospital, memandangkan doktor gagal memantau keperluan untuk CPR.
Navin berkata, ketika beliau memeriksa tanda vital Gan, banduan itu stabil dan masih mampu bernafas serta bercakap walaupun tahap oksigen dalam darah tidak menentu. Katanya, beliau tidak mempunyai masa mencukupi mendapatkan peralatan sesuai dari klinik penjara bagi membantunya.
“Kami sesegera mungkin menghantarnya ke hospital. Adalah mustahil untuk kami kembali ke klinik dan mengambil sebarang peralatan untuk membantu. Jika kami buat begitu, ia mungkin akan lebih melambatkan rawatan,” katanya.
Peralatan perubatan terhad
Gan akhirnya dihantar ke Hospital Taiping dengan van penjara kerana Navin mendakwa ambulans mengambil masa lebih lama untuk sampai.
Menjawab soalan Farah mengenai mengapa van tersebut tidak dilengkapi peralatan kecemasan perubatan, Navin mengulas, hanya ada peralatan terhad bagi menangani kes kecederaan abdomen.
Gan cedera semasa latihan pemindahan banduan dari Dewan B penjara ke Blok E, di mana lebih 100 banduan didakwa dipukul kira-kira 60 warden penjara.
Laporan awal daripada Hospital Taiping mendedahkan, Gan disahkan meninggal dunia sebaik tiba selepas ‘dibawa dalam keadaan tidak sedarkan diri tanpa tanda masih bernyawa’, dengan punca kematiannya digambarkan sebagai kecederaan abdomen akibat hentakan objek tumpul.
Dokumentasi palsu?
Dalam surat rujukan Navin kepada doktor di Hospital Taiping, beliau menyatakan Gan mengalami kecederaan pada bahagian kiri dada selepas terjatuh dalam tandas – maklumat yang didakwa diperoleh Navin daripada banduan lain.
Namun, dua banduan hanya dikenali Alex dan Adam, yang membantu mengiringi Gan ke pintu utama menyatakan dalam keterangan saksi bahawa mereka tidak pernah memberitahu doktor perkara itu.
Surat itu juga mengandungi maklumat bercanggah, dengan bahagian utama dokumen menyatakan Gan mengalami kecederaan pada bahagian kiri tubuh, manakala bahagian kemudian menyebut dia mengalami ‘kelemahan dan kesakitan pada bahagian kanan’. Navin mendakwa ia merupakan kesilapan tidak sengaja kerana ‘keadaan bergerak terlalu pantas’.
“Ini adalah maklumat yang sangat penting, Dr Navin. Anda tidak sepatutnya salah tulis atau kesilapan dalam situasi seperti ini,” kata Farah dalam maklum balas.
Sebelum ini, Navin telah mengakui kad perubatan bagi banduan lain yang mengalami kecederaan dalam insiden 17 Jan lalu mungkin telah diubah, namun menegaskan bukan beliau melakukannya.
Hishamudin, ketika meneliti satu daripada kad perubatan banduan, mendapati tarikh ’17 Jan’ kelihatan dicetak di atas tarikh samar ’22 Jan’. Beliau berkata, perkara itu menunjukkan rawatan terhadap banduan mungkin telah ditangguhkan melebihi apa yang tercatat dalam rekod.
Inkuiri bersambung esok.