
Bagi 2026 pula, pertumbuhan KDNK dijangka akan mengalami sedikit pengurangan berbanding 2025, memandangkan kesan daripada tarif akan dirasai sepanjang tahun.
“Berhubung dengan impaknya ke atas inflasi dalam beberapa sektor keperluan asas seperti pengangkutan, tenaga dan makanan, ianya masih terlalu awal untuk diperkatakan secara tepat dan tuntas,” kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Aziz.
Penerangan tersebut menjawab pertanyaan Richard Rapu (GPS–Betong) tentang analisis semasa kementerian terhadap impak jangka pendek dan jangka panjang peningkatan kadar tarif global terhadap tahap inflasi, kos pengeluaran industri tempatan dan harga pengguna, khususnya dalam sektor keperluan asas seperti makanan, tenaga dan pengangkutan; disiarkan dalam jawapan bertulis di laman Parlimen.
Dalam pada itu, Zafrul berkata kerajaan komited dengan pelbagai langkah yang proaktif dan bersepadu bagi meminimumkan kesan negatif pelaksanaan tarif sebanyak 19% ini ke atas pertumbuhan ekonomi negara, merangkumi sektor keperluan asas seperti makanan, tenaga dan pengangkutan dalam jangka masa sederhana serta panjang.
Antara langkah utama diambil adalah mempergiatkan kerjasama rentas kementerian dan agensi kerajaan; dan menggalakkan pengeksport memanfaatkan sepenuhnya 18 perjanjian perdagangan bebas (FTA) bagi mempelbagaikan dan mengembangkan pasaran eksport mereka.
Selain itu, program reformasi industri di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Strategi Pelaburan Hijau dan Strategi Semikonduktor Nasional diteruskan; dan dana pembiayaan mudah untuk perusahaan kecil dan sederhana terjejas ditambah sebanyak RM500 juta melalui Institusi Pembangunan Kewangan.
Ini di samping Program Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) bernilai RM25 bilion untuk memacu sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi, seperti semikonduktor dan peralihan tenaga, serta memperkasakan komuniti terpinggir dan membangunkan bakat tempatan.
“Kerajaan yakin bahawa pelaksanaan langkah-langkah yang telah dirancang akan dapat menangani impak negatif daripada pengenaan tarif timbal balas oleh AS dengan berkesan dan menyeluruh tanpa memudaratkan kesejahteraan rakyat.
“Strategi-strategi ini bukan sahaja akan memperkukuh daya saing syarikat-syarikat tempatan di peringkat global, malah turut membuka peluang baharu bagi memperluas pasaran serta mempertingkatkan ketahanan ekonomi negara dalam berhadapan dengan pelbagai cabaran luar jangka,” katanya.