
Timbalan Ketua Pemuda PKR Hang Tuah Jaya Muhammad Hafiz Rayyan berkata tindakan individu terbabit menyebarkan cerita seperti Zara Qairina dimasukkan dalam mesin basuh yang akhirnya diakui rekaan semata-mata hanya memburukkan keadaan.

“Bila ditanya apa tujuannya sebarkan cerita itu, jawabnya hanya untuk konten media sosial. Bayangkan, luka seorang ibu dijadikan bahan tontonan. Betapa runtuhnya nilai empati dalam masyarakat kita.
“Itulah sebabnya persoalan ini makin membelenggu kita. Kenapa kes buli makin membarah? Apa sudah jadi dengan anak didik kita? Ke mana hilangnya empati mereka?,” katanya dalam kenyataan.
Minggu lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M Kumar berkata 15 kertas siasatan dibuka susulan penyebaran berita palsu yang boleh mengganggu gugat ketenteraman awam serta menjejaskan proses siasatan kes kematian Zara Qairina.
Ia termasuk berita palsu yang disiasat ialah dakwaan kononnya mangsa dimasukkan ke dalam mesin basuh, yang disebarkan di media sosial.
Polis menahan seorang wanita berusia 39 tahun di Rawang dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Mengambil iktibar kejadian menimpa Zara Qairina, Hafiz berkata pihaknya melancarkan kempen ‘buli adalah jenayah’.
“Cukuplah kes Zara Qairina ini menjadi noktah kepada kes buli di Malaysia, sekarang masa untuk bertindak sebelum nasi menjadi bubur,” katanya.
Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri pada 4 pagi, 16 Julai lalu selepas didakwa terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya di Papar, Sabah.
Dia meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I keesokannya.
Jenazahnya digali semula pada 9 Ogos lalu bagi membolehkan bedah siasat dijalankan susulan dakwaan kejadian buli.
Hari ini, Peguam Negara Mohd Dusuki Mokhtar mengesahkan lima remaja perempuan akan dituduh di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu, Sabah pada Rabu ini berhubung kes melibatkan Zara Qairina
Jelasnya, prosiding akan dijalankan secara tertutup memandangkan kesemua suspek berusia bawah 18 tahun.