Pemecatan konstruktif, bekas CEO syarikat bahan kek dapat pampasan RM560,000

Pemecatan konstruktif, bekas CEO syarikat bahan kek dapat pampasan RM560,000

Mahkamah Perusahaan berkata syarikat langgar kontrak pekerjaan pihak menuntut dengan tidak membayar gaji dan caruman berkanun selama tiga bulan kerana didakwa gagal jana untung.

Mahkamah perusahaan Industrial Court
Mahkamah Perusahaan berkata kegagalan syarikat memanggil pengarah memberi keterangan jelas menunjukkan bahawa keterangan pihak yang menuntut tetap tidak dicabar. (Gambar fail)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Perusahaan di sini memutuskan bahawa bekas ketua pegawai eksekutif syarikat pembekal bahan kek dan makanan, yang tidak dibayar selama tiga bulan selepas dipersalahkan atas kerugian syarikat itu, telah dipecat secara konstruktif.

Mahkamah, yang memberikan RM560,000 kepada Lai Meng Sim, berkata DAG Express Sdn Bhd telah melanggar kontrak pekerjaannya dengan tidak membayar gajinya selama tiga bulan selepas mendakwa dia gagal ‘mengurus syarikat dengan cara menguntungkan seperti dijanjikan’.

Pengerusi mahkamah Augustine Anthony berkata kegagalan syarikat membuat potongan berkanun pihak menuntut, seperti KWSP, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Sistem Insurans Pekerjaan, juga melanggar syarat asas kontrak pekerjaan.

“Bukti pihak menuntut bahawa syarikat gagal membayar potongan cukai pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) juga merupakan pelanggaran serius terhadap kontrak,” katanya dalam award yang diputuskan pada 31 Julai.

Lai mula bekerja pada 23 Sept 2021, dengan gaji bulanan RM35,000. Pihak yang menuntut menganggap dirinya telah dipecat secara konstruktif pada 29 Sept 2023, atas kegagalan syarikat membayar gajinya dari Julai hingga September dan membuat semua caruman berkanun.

Beliau berkata tindakan syarikat untuk meletakkan kesalahan ke atasnya kerana ketidakmampuan memenuhi kewajipan kewangannya kepada semua pekerja adalah tidak boleh diterima.

Anthony berkata saksi memberi pelbagai butiran jaminan pihak menuntut kepada pengarah syarikat bahawa industri bahan kek dan makanan adalah perniagaan menguntungkan, yang membawanya dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif.

Beliau berkata syarikat itu menyalahkan Lai atas kerugian besar dalam tempoh dua tahun, yang membawa kepada tindakan tidak membayar gaji dan penahanan caruman berkanun.

“Mahkamah ini tidak dapat menerima keterangan saksi syarikat, apatah lagi apabila semua bukti komunikasi lisan yang dikatakan antara pihak yang menuntut dan pengarah syarikat itu kekal sebagai bukti dengar khabar,” katanya.

Beliau berkata kegagalan syarikat memanggil pengarah untuk memberi keterangan sebagai saksi jelas menunjukkan bahawa keterangan pihak yang menuntut tetap tidak dicabar.

Beliau menganugerahkan 14 bulan gaji tertunggak, berjumlah RM490,000 dan RM70,000 sebagai pampasan dua bulan sebagai ganti pengembalian semula, menjadikan jumlah keseluruhan RM560,000.

Christine Jee Panji Papanji dan Jolyn Ch’ng Wei Fern mewakili pihak yang menuntut manakala Ava Geh Ciu Hui mewakili syarikat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.